Ringgit terus meningkat kepada RM4.46 satu dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi pembukaan urus niaga pagi ini dalam situasi yang menyaksikan petunjuk bercanggah daripada AS mengenai inflasi dan kadar faedah, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.4670/4745 berbanding dolar AS daripada 4.4710/4740 pada penutup Rabu.

Data PMI Pembuatan ISM AS, satu lagi indikator inflasi, menambah sedikit kepada 47.7 mata pada Februari daripada 47.4 mata pada bulan sebelumnya tetapi masih di bawah 48.0 mata daripada anggaran konsensus.

Ketua Ekonomi & Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata salah seorang pegawai (mengundi) Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS, Neil Kashkari membayangkan beliau terbuka kepada kenaikan 25 mata asas (bps) atau 50 bps dalam mesyuarat yang akan datang pada bulan Mac.

Begitu juga, pegawai (bukan mengundi) Raphel Bostic mencadangkan kadar dana Fed sepatutnya berada dalam julat 5.00 peratus hingga 5.25 peratus, dan tahap sebegitu perlu dikekalkan dengan baik sehingga 2024.

“Pendirian yang menjuruskan kepada kenaikan kadar faedah oleh pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) terus menjadi tumpuan,” katanya kepada Bernama.

Justeru, Mohd Afzanizam mengunjurkan ringgit kekal dalam julat sempit berbanding dolar AS menjelang mesyuarat FOMC pada pertengahan Mac.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding euro, menyaksikan mata wang itu merosot kepada 4.7618/7698 daripada 4.7580/7612 semalam.

Mata wang tempatan turut meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2783/2843 daripada 3.2916/2941 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3693/3783 daripada 5.3956/3992 sebelum ini.

Ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding beberapa mata wang ASEAN.

Ia menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.3256/3315 daripada 3.3333/3361 pada hari Rabu dan meningkat berbanding Thai baht untuk mencatatkan 12.8381/8652 daripada 12.8484/8637.

Mata wang tempatan mengukuh sedikit berbanding peso Filipina pada 8.12/8.14 daripada 8.13/8.14 dan rupiah Indonesia pada 293.10/293.80 daripada 293.40/293.80 semalam.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker