Sri Pahang ratah Kelantan FC
Kuantan: Sri Pahang FC menjadikan Kelantan FC sebagai mangsa amukan apabila menang 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.
Selepas seri 1-1 berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada perlawanan pertama, skuad kendalian Fandi Ahmad tampil dengan lebih padu.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan penyerang import, Kpah Sherman pada minit ke-11.
Gol kedua Sri Pahang hadir pada minit ke-38 menerusi rembatan pemain tengah, Kevin Ingreso dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol lawan, Mohamad Rozaimi Rahamat.
Ketinggalan dua gol, Kelantan cuba melawan, tetapi kekebalan jentera pertahanan menafikan pasukan lawan merapatkan jurang gol.
Sebaliknya Sri Pahang menambah jaringan ketiga menerusi sentuhan kapten pasukan, Sergio Aguero pada minit ke-43.
Pada minit terakhir separuh masa pertama, pertahanan import, Stefano Brundo menjaringkan gol keempat Sri Pahang untuk mencatat kelebihan 4-0.
Pada babak kedua, corak permainan berbeza dipersembahkan skuad Choi Moon Sik dengan beberapa asakan di kubu tuan rumah dan mereka memperoleh gol sagu hati menerusi Miguel Garrido pada minit akhir perlawanan.
METRO