Sabitan 2 bekas pekerja Goldman Sachs bukti penyelesaian diragui – Johari

PETALING JAYA: Sabitan jenayah terhadap dua bekas pekerja Goldman Sachs secara konklusif menunjukkan “keraguan” dalam perjanjian penyelesaian 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dimeterai oleh pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan bank pelaburan itu, kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Bekas Menteri Kewangan II itu, menjelaskan mengenai jangkaan hukuman terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, selepas dia disabitkan bersalah membantu merompak berbilion dolar daripada dana kekayaan negara 1MDB.

Hakim Daerah Amerika Syarikat, Margo Brodie dijangka menjatuhkan hukuman kepada Ng pada Khamis ini (9 Mac).

Ng disabitkan bersalah kerana bersubahat dengan bekas ketuanya, Tim Leissner, dan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, untuk merasuah pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi bagi memudahkan urusan penipuan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion (RM29.09 bilion).



Leissner, yang mengaku bersalah atas pertuduhan sama lebih empat tahun lalu, bekerjasama dengan pihak pendakwa untuk mendapatkan hukuman ringan.

“Kita bersetuju untuk hanya menerima AS$2.5 bilion (RM11 bilion) daripada AS$6.5 bilion (RM29 bilion) yang dituntut. Bank itu juga bersetuju untuk membantu mendapatkan semula aset tambahan AS$1.4 bilion,” kata Johari kepada FMT.

Johari berkata, jumlah penyelesaian rendah yang dicadangkan menunjukkan ada “sesuatu yang tidak kena” dalam perjanjian itu.

“Kita juga nampaknya berada dalam kebuntuan dengan Goldman Sachs berhubung pemulihan aset, dengan bank setakat ini gagal untuk mendapatkan AS$1.4 bilion (RM6.5 bilion) seperti dijanjikan,” katanya.



“Goldman Sachs jelas mengambil kesempatan daripada kelemahan perunding kita dalam merangka perjanjian itu. Kita tidak boleh biarkan ini berlaku.

“Leissner dan Ng, adalah sebahagian daripada pengurusan kanan bank, serta orang penting terbabit dalam penipuan itu. Kesalahan mereka boleh dikaitkan dengan Goldman Sachs untuk memastikan bank itu bertanggungjawab sepenuhnya atas semua kerugian 1MDB.

“Kita tidak ada apa-apa untuk disembunyikan. Kita hanya cuba mendapatkan semula kerugian daripada bank di mana kakitangan seniornya telah disabitkan di AS atas kesalahan mereka.”

Johari juga menggesa kerajaan untuk berhubung dengan Jabatan Kehakiman (DoJ) AS untuk mendapatkan pemulangan segera dana dilucuthakkan daripada Leissner dan Ng.

“Kita mempunyai kewajipan untuk memastikan dana ini dikembalikan kepada Perbendaharaan secepat mungkin untuk membiayai sebahagian bon bernilai AS$3 bilion (RM13 bilion) yang akan dibayar bulan ini,” katanya.

Minggu lalu, Bloomberg melaporkan susulan sabitan kesalahan Leissner, Brodie mengarahkannya menyerahkan kira-kira AS$44 juta (RM196 juta) aset kepada DoJ, terdiri daripada wang tunai AS$43.7 juta (RM195 juta) dan 3.3 juta saham bernilai AS$313 juta (RM1.4 bilion) dalam syarikat minuman kecergasan Celsius Holdings Inc.

Menurut laporan itu, pihak pendakwa raya meminta hakim untuk melucutkan hak AS$35.1 juta (RM157.3 juta) lagi daripada Ng.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker