Industri pertahanan berpotensi dijadikan sumber ekonomi negara
KUALA LUMPUR: Sektor industri pertahanan berpontesi menyumbang RM17.23 bilion kepada ekonomi Malaysia menjelang 2030 sekiranya ia dibangunkan dengan strategik.
Selain berupaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan kebolehsaingan ekonomi negara, ia dijangka dapat menyediakan 24,586 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang akhir dekad ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata industri pertahanan kini bukan sahaja menjadi bahagian penting kepada sistem pertahanan nasional, malah boleh dijadikan sumber ekonomi.
Katanya, walaupun Malaysia masih jauh terkebelakang dalam sektor ekonomi berasaskan pertahanan, negara ini mempunyai pelbagai potensi untuk membangunkannya.
“Jika dibangunkan secara strategik, ia berupaya menjadi katalis penting untuk pertumbuhan dan kebolehsaingan ekonomi negara.
“Usahawan kita berkemampuan, manakala universiti kita mempunyai pelbagai kemampuan penyelidikan termaju, dan paling penting, industri ini didukung penuh Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan kerajaan.
“Justeru, kedudukan dan prestasi industri pertahanan negara tidak boleh dibiarkan dalam the current state of affairs (keadaan semasa)’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Bersama Pemain Industri Pertahanan anjuran Bahagian Industri Pertahanan MINDEF di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM di sini, kelmarin.
Pada sesi itu, Mohamad mengambil kesempatan beramah mesra bersama 60 wakil pemain industri tempatan.
Beliau berkata, Malaysia mesti menggembleng dan mencari strategi lebih tuntas untuk membangunkan industri pertahanannya atas beberapa sebab.
“Pertama, keperluan sistem pertahanan kita semakin kompleks dan multifacated (pelbagai rupa), terganggu dengan teknologi baharu, kemunculan pelbagai ancaman bukan tradisional, perubahan iklim serta pelbagai ancaman lain.
“Justeru, kita mesti mempunyai industri pertahanan yang dipacu teknologi dan sains termaju.
“Kedua, kerana Malaysia sedang bergerak pantas menjadi a middle power (satu kuasa tengah).
“Pembangunan ekonomi, pengaruh dan keterlihatan kita, jelas menunjukkan kita mula bergerak pantas, dan secara pasti akan menjelma sebagai kuasa pertengahan yang penting,” katanya.
Ketiga, katanya ekonomi Malaysia memerlukan bidang keberhasilan baharu dan tanpa sektor ekonomi yang dipelbagaikan, Malaysia akan terus terperangkap dalam mod negara membangun.
Mohamad menjelaskan, prospek industri pertahanan global yang mempunyai relevance and utility (kaitan dan utiliti) yang singkat boleh mempengaruhi pembangunan pertahanan negara.
“Semuanya kerana disruptive technological forces yang sangat kerap, hebat dan besar.
“Maknanya industri ini akan secara progresif dan fundamental, berubah dengan pantas dan dinamik dalam dekad mendatang,” katanya.
Pelbagai teknologi terkini
Beliau berkata, ciri trend global ini, termasuk kemunculan pemain industri baharu menawarkan pelbagai teknologi terkini serta sains termaju, inovasi luar biasa, kaedah pembiayaan baharu serta model kerjasama lebih inovatif.
“Semua ini, menjadikan sektor ini kompetitif. Tanpa inovasi dan koloborasi yang strategik, pemain sedia ada akan menjadi tidak relevan.
“Teknologi dan sains seperti kecerdikan buatan, material performance, pengkomputeran kuantum, mahadata serta pelbagai lagi penemuan saintifik termaju, akan mewujudkan lingkungan baharu untuk industri pertahanan global,” katanya.
Jelas beliau, perkara itu akan mengubah cara negara mempertahankan kedaulatan wilayah, melakukan risikan malah menyediakan prasarana pertahanan termasuk cara berpakaian.
“Ketiga, adalah kerangka kerja baharu di mana segala trend mega, geopolitik, demografi, imigrasi, persaingan kuasa besar, model ekonomi dan perubahan iklim mempunyai implikasi yang besar terhadap model industri pertahanan.
“Keempat, peraturan baharu, ESG Compliance (pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus), ketelusan komitmen, menangani rasuah serta ketirisan,” katanya.
Mohamad turut berkata, untuk menyelia rangkaian bekalan dan melindungi harta intelek, semua itu memerlukan kerangka regulasi dan kawal selia lebih canggih.
Terakhir, model pembiayaan yang unggul dan lestari yang mana realitinya pembiayaan untuk sistem pertahanan semakin terhimpit dengan austerity measures (langkah penjimatan).
“Begitu juga dengan pembiayaan untuk penyelidikan dan inovasi. Semuanya makin mengecil dan kerana itu kita memerlukan model pembiayaan inovatif,” katanya.
Mohamad berkata, MINDEF menerusi Bahagian Industri Pertahanan mesti mempunyai strategi untuk menyediakan pemain sektor industri pertahanan menghadapi semua cabaran itu.
Katanya, penubuhan Malaysian Industry Council for Defence, Enforcement and Security (MIDES) antara strategi penting.
“Selain mengenal pasti syarikat yang berkemampuan di dalam industri pertahanan, MIDES harus berperanan menarik lebih ramai pelabur asing melabur dalam industri pertahanan nasional.
“Begitu juga Langkawi International Maritime & Aerospace Exhibition (LIMA) 2023, ia adalah arena untuk pemain industri meneroka pelbagai jaringan dalam perniagaan pertahanan,” katanya
Perjanjian bilateral
Selain itu, katanya MINDEF juga mesti giat meneroka pelbagai perjanjian bilateral dengan pelbagai negara yang berfokus kepada kerjasama dalam industri pertahanan.
Katanya, kerjasama lebih akrab antara pelbagai universiti dan institusi penyelidikan negara juga perlu dibangunkan dengan Institut Penyelidikan Sains Dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) menjadi penyelaras.
“Peranan STRIDE dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi pertahanan adalah terbatas tanpa kerjasama dengan pelbagai universiti dan rumah penyelidikan nasional.
“Apalagi dalam keterbatasan dana untuk penyelidikan. Kerana itu, STRIDE wajar membangunkan ekosistem penyelidikan yang lebih terangkum, strategik dan berprestasi,” katanya.
Menurut Mohamad, MINDEF akan melancarkan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) sebagai usaha berterusan kerajaan dalam menyokong perkembangan industri pertahanan negara,
Katanya, penggubalan akta berkaitan industri pertahanan juga akan dilaksanakan kerana Malaysia memerlukan kerangka regulasi teratur untuk memacu keberhasilan industri pertahanan nasional.
BHOnline