Keupayaan mesin pengimbas lalu masuk negara akan dipertingkatkan – Ahmad Maslan

KOTA KINABALU: Kerajaan akan memastikan keupayaan mesin pengimbas di semua laluan masuk di negara ini dapat ditingkatkan untuk membasmi kegiatan penyeludupan di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pihaknya mengambil maklum berhubung isu penyeludupan yang semakin berleluasa terutama di Sabah yang menjadi laluan perdagangan paling rancak.

Sehubungan itu, Ahmad Maslan berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mengenal pasti semua kaedah untuk memastikan sistem pengimbas di laluan masuk di seluruh negara ini, termasuk di pelabuhan dapat dioptimumkan dari semasa ke semasa.

“Peningkatan sistem pengimbas di laluan masuk adalah langkah utama untuk mengatasi masalah penyeludupan, selain maklumat daripada orang ramai.



“Oleh itu, kita berharap agar usaha untuk meningkatkan kecekapan dan menambah mesin pengimbas ini akan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa di pusat pelabuhan serta lapangan terbang,” katanya ketika ditemui media selepas tinjauan dan lawatan ke kaunter pemeriksaan Kastam Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam.

Yang turut hadir, Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman.

Ahmad berkata, semua laluan masuk di negara ini perlu mempunyai mesin pengimbas yang lengkap, berikutan kebanyakan kes penyeludupan yang berlaku adalah berpunca daripada sistem pengimbas yang kurang berkesan.

Katanya, dengan keberkesanan mesin pengimbas, kegiatan licik penyeludupan seperti petrol dan diesel serta minyak masak dapat dikurangkan.



“Mesin pengimbas akan ditambah berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa kerana kosnya agak tinggi iaitu sebanyak RM20 juta berserta dengan mesin, bangunan dan juga bilik kawalan.

“Mesin pengimbas bagasi di lapangan terbang pula bernilai sekitar RM500,000,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Maslan berkata, Sabah berjaya mengutip lebih RM1.79 bilion cukai sepanjang tahun lepas.

“Cukai yang dipungut adalah antaranya hasil kastam iaitu lebih RM1.21 bilion. Saya berharap kutipan hasil cukai dapat ditingkatkan lagi tahun ini,” katanya

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker