Tok Gajah mara ke pusingan kedua Piala FA
KUALA LUMPUR: Juara tiga kali, Sri Pahang FC (SPFC) mara ke pusingan kedua Piala FA 2023 selepas menang 2-1 ke atas juara dua kali, Perak FC di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan anak buah Fandi Ahmad itu akan berdepan juara terbanyak Piala FA, Selangor FC pada pusingan kedua, April nanti.
Pada aksi terbabit, Sri Pahang menghantar amaran seawal minit kelapan menerusi serangan balas pantas yang berjaya menemui Sergio Aguero namun percubaan pemain itu diselamatkan Tian Keat See.
Shafizi Iqmal Md Khirudin dan Christian Obiozor yang dikecewakan sebelum itu ‘bergabung’ untuk menghasilkan gol pembukaan Perak apabila hantaran lolos Shafizi menemui Obiozor yang menewaskan Izham Tarmizi pada minit ke-33.
Bersambung babak kedua, Sri Pahang bermula gawang dengan percubaan ‘roket’ Kevin Ingresso pada minit ke-46 tetapi dibaca Keat See yang menepis rembatan terbabit.
Bagaimanapun, skuad Bos Gaurus tersentak apabila Fadhil Idris dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-66 sekali gus memaksa tuan rumah bermain dengan 10 pemain bagi tempoh 25 minit.
Gol penyamaan yang dicari Sri Pahang hadir pada minit ke-81 berpunca daripada sepakan sudut yang disudahkan Abdul Malik Mat Ariff untuk memberi talian hayat kepada pelawat.
Kpah Sherman hampir menghadiahkan gol kemenangan buat skuad Tok Gajah namun percubaannya dihalang di depan gol oleh Sunday Afolabi untuk menyelamatkan gawang Perak daripada dibolosi.
Ketika perlawanan seakan diheret ke masa tambahan, Sri Pahang dihadiahkan sepakan penalti pada masa tambahan babak kedua yang disempurnakan Stefano Brundo untuk gol kemenangan mereka.
BHOnline