PSG tersingkir, Galtier kecewa

Munich: Jurulatih Paris Saint Germain (PSG), Christophe Galtier mengakui kelabnya tidak ada pilihan lain kecuali menerima penyingkiran terbaharu mereka di Liga Juara-Juara dan terus pandang ke depan.

Beliau menegaskan aksi 16 terakhir menentang Bayern Munich itu pasti berbeza sekiranya mereka dapat menjaringkan gol terlebih dahulu.

“Ia satu kekecewaan besar. Malangnya kami perlu menghadam dan menerimanya,” kata Galtier kepada Canal Plus selepas PSG tewas 2-0 kepada Bayern di Jerman dan agregat 3-0.

Pendahulu Ligue 1 itu, yang cuba untuk mengejar defisit 0-1 pada aksi pertama bulan lalu, sekarang ini sudah tersingkir di pusingan pertama kalah mati Liga Juara-Juara buat kali kelima daripada tujuh musim terakhir.



“Kami harus meneruskan saingan liga. Semua orang kecewa bukan sahaja saya. Walaupun kami menghadapi banyak kesukaran pada perlawanan pertama, kami meletakkan banyak harapan pada perlawanan kedua,” tambah Galtier.

Eric Maxim Choupo-Moting dan Serge Gnabry menjaringkan gol pada separuh masa kedua di Allianz Arena untuk membantu Bayern, memenangi perlawanan itu.

Baik Kylian Mbappe mahupun Lionel Messi kedua-duanya tidak memberikan impak yang diharapkan, manakala Neymar tidak beraksi kerana kecederaan buku lali.

Galtier mengecam kesilapan Vitinha pada separuh masa pertama apabila rembatannya ditepis keluar dari garisan oleh Matthijs de Ligt.



Jurulatih PSG itu turut merungut terhadap pertahanan pasukannya pada gol pembukaan Bayern, apabila berlaku selepas Marco Verratti membiarkan bola dirampas dalam kotak penalti sendiri.

“Kami mempunyai permainan yang sangat bagus apabila kami mencipta peluang. Kami bersaing dengan lawan kami dan berada di atas. Malangnya kami tidak dapat mengambil peluang yang ada,” katanya.

“Kemudian pada separuh masa kedua kami melepaskan gol yang sangat bodoh. Pada tahap ini anda perlu berfikiran lebih jelas.

“Jelas sekali kami berada di bawah tekanan daripada Bayern. Pada ketika itu anda tidak perlu malu untuk bermain lama, untuk keluar dari ditekan.

“Dan jelas sekali selepas sejam apabila anda ketinggalan, ia menjadi sangat sukar.

“Saya tidak tahu sama ada ia satu pengajaran yang perlu kita pelajari tetapi ia mengecewakan. Permainan pastinya berbeza sekiranya kami menjaringkan gol terlebih dahulu.”

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker