Achey agih bantuan banjir di Segamat, Batu Pahat

KUALA LUMPUR : Biarpun gagal mengumpul dana besar, pelawak, Achey meneruskan misi bantuan banjir kepada penduduk di daerah kelahirannya, Segamat dan Batu Pahat, Johor, sejak Rabu lalu.

Achey atau nama sebenar, Mohd Nasir Hamzah, 36, berkata misi bantuan banjir itu dirancang dalam tempoh seminggu.

“Hasil perbincangan dengan beberapa pihak seperti Bukit Kapar Care, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan rakan perniagaan lain, kami dapat mengumpul barangan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.



“Saya bersyukur dapat membeli bot terpakai untuk kegunaan penduduk kampung di Segamat ketika banjir,” katanya kepada BH Online.

Selain Bukit Kapar Care, MAPIM, misi bantuan banjir digerakkan Achey turut membabitkan kerjasama RS Mega Travel; Bottolgarage; Roda Attack; Sign Board Malaysia dan Southern Volunteer (SV) Segamat.

Achey berkata, sumbangan diagih diperoleh daripada bantuan rakan perniagaan termasuk selebriti.

“Ada juga ahli perniagaan yang membantu, namun, kebanyakan daripada mereka membekalkan barangan mentah seperti ayam segar,” katanya.



Achey berkata, dia memulakan misi bantuan banjir di Segamat, Rabu lalu.

“Kita menggunakan 20 kenderaan termasuk masing-masing sebuah lori dan bot untuk mengagihkan bantuan kepada 10 kampung di Segamat.

“Kelmarin, ditemani isteri, Anne dan teman-teman, kami pergi ke Kampung Sungai Tekam, Segamat untuk mengagihkan bantuan kepada 110 rumah,” katanya.



Achey berterima kasih kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Southern Volunteer (SV) yang memudahkan proses agihan bantuan kepada mangsa banjir.

“Insya-Allah, bantuan akan diagihkan kepada penduduk Parit Sulong dan Simpang Lima di Batu Pahat. Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, boleh hubungi pengurus saya,” katanya.

Achey berharap bantuan diagih dapat meringankan beban mangsa banjir apatah lagi, Ramadan bakal tiba, selain ada penduduk di beberapa kawasan di Batu Pahat dilaporkan masih berdepan masalah banjir ‘termenung’.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button