‘Terima kasih Didi, awak suami yang baik’

Kota Bharu: Video suami bergelak tawa dengan anak bongsu berusia dua bulan menjadi kenangan terakhir buat Farah Alyani Mohd Razali, 32, yang kehilangan suami dalam kejadian lemas di Kuala Gel, Pantai Melawi, semalam.

Katanya, video berdurasi 21 saat itu adalah gelagat terakhir arwah suami, Fauzan Azamuddin,34 bersama anak mereka, Muhammad Annas, yang dirakam sebelum mereka ke pantai.

Katanya, pagi semalam, dia bersama arwah dan keluarga ke majlis pertunangan adik bongsunya di Wakaf Baru dan pulang menghantar bayi mereka ke rumah pengasuh sebelum bersama 27 ahli keluarga lain ke pantai Melawi untuk bercuti.

“Kami tiba di pantai jam 3 petang dan selepas solat asar, suami bersama ahli keluarga lain turun ke pantai untuk mandi, manakala saya berada berhampiran chalet tempat penginapan sedang bakar daging.

“Dalam sekelip mata, tak tahu mana dulu, ramai (ahli keluarga) yang lemas, suami nak selamatkan anak saudara, tapi dia pula lemas,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, di sini.

Farah berkata, tiga daripada empat anaknya, iaitu An Nisa, 9, An Nur,7, dan Muhammad Furqan, 5 juga mandi ketika kejadian dan turut lemas namun berjaya diselamatkan orang awam.

Selain arwah suami dan tiga anak, kejadian lemas turut membabitkan beberapa ahli keluarga Farah termasuk abangnya, Muhammad Rasyidan Mohd Razali, 37 serta seorang anak saudara perempuan yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

“Mereka ditahan di wad selepas tertelan banyak air manakala yang lain termasuk anak saya selamat dan dibawa pulang ke rumah kami di Pasir Tumbuh,” katanya.

Farah berkata, arwah suaminya yang dipanggil Didi adalah suami yang penyayang, baik hati dan suka menolong orang.

Katanya, dia sangat terasa kehilangan arwah yang suka berjenaka serta sering membawa keluarga bercuti.

“Sebelum bersalin anak bongsu, arwah sempat bawa kami bercuti ke Langkawi, malah merancang untuk ke Kuala Lumpur minggu depan, namun saya reda dengan kejadian menimpa arwah.

“Terima kasih Didi atas 11 tahun kenangan indah bersama, dia suami yang sangat baik,” katanya sambil menitiskan air mata.

Bapa mentua arwah, Mohd Razali Deraman, 72 berkata, ketika kejadian anak menantu termasuk yang bekerja sebagai doktor cuba memberi bantuan pernafasan kepada Fauzan.

“Ketika dibawa naik ke daratan, nadi Fauzan masih ada, kami cuba buat bantuan pernafasan, tapi dia takdok dah (meninggal dunia),” katanya.

Mohd Razali berkata, jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Chica, pagi ini.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker