Kemaruk kejar publisiti, content

Mengapa ajaran Islam kerap dijadikan bahan momokan serta dipersendakan, hatta oleh penganutnya sendiri?

Jika dilihat, ia semakin berleluasa di negara kita, malah pelakunya kerap dikenal pasti sebagai penganut Islam, malah tidak segan silu untuk mengaku melakukan perbuatan terbabit.

Baru-baru ini, tercetus isu membabitkan sebuah naskhah seni yang mempersendakan atau merendahkan-rendahkan ajaran Islam.

Ikuti wawancara Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) MUSA AWANG bersama Pengarang Berita NAZARALI SAERIL, bagi mengulas isu ini.



Agama Islam di negara ini kerap dipermainkan, bahkan oleh penganutnya sendiri.

Perbuatan menghina agama boleh berlaku melalui banyak cara sama ada melalui perbuatan, perkataan atau melalui isyarat.

Perbuatan atau perkataan yang mencerca Allah SWT atau menyamakan Allah SWT dengan tuhan agama lain, mengatakan Allah SWT itu lemah dan sebagainya atau menghina Rasulullah SAW atau menghina hukum-hukum yang sudah ditetapkan secara qath’i adalah contoh perbuatan atau tindakan menghina agama yang boleh membawa kepada kekufuran.

Perbuatan seseorang menghina agama Islam sebenarnya menunjukkan dia menghina dirinya sendiri.



Sepatutnya, jika seseorang itu benar-benar menghormati agama, dia tidak akan melakukan perbuatan yang mempersendakan dan menjatuhkan maruah dirinya sendiri.

Walaupun sekadar berlakon di dalam sesebuah naskhah seni, apakah hukumnya bagi pelakon Muslim yang terang-terangan melakonkan watak mempermainkan agamanya sendiri?

Bergurau atau sengaja atau berlakon dalam perkara mempersendakan agama boleh tergolong dalam dosa besar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: ‘Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.’ Katakanlah: ‘Patutkah nama Allah dan ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu mempersendakan dan mengejeknya?’

“Janganlah kamu berdalih (dengan pelbagai alasan yang dusta) kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak daripada kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain kerana mereka adalah orang yang terus bersalah.'” (Surah at-Tawbah ayat 65-66)

Bahkan Allah SWT menyuruh menjauhkan diri daripada golongan itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jauhkanlah diri daripada orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan serta hiburan dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.” (Surah al-An’am; 70)

Perbuatan mempersendakan agama telah dijanjikan oleh Allah SWT bagi mereka azab yang pedih. Firman Allah SWT: “Mereka itulah orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman daripada air panas yang menggelegak dan azab seksa tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).”
– (Surah al-An’am ayat 70)

Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan status mereka yang mengungkapkan ungkapan kufur secara sengaja (termasuk berlakon).

Imam al-Zarkasyi menyatakan bahawa: “Sesiapa yang berkata perkataan yang membawa kepada kufur secara sengaja tanpa niat untuk kufur maka beliau dikira murtad.” (rujuk al-Mansur fi al-Qawaid Fiqh Syafie, jilid 2, m/s 112).

Menurut Ibnu Nujaim: “Sekiranya diungkapkan perkataan kufur secara sengaja, tetapi beliau tidak berniatkannya, kata sebahagian ulama: ia tidak kafir kerana ungkapan kufur itu tidak bersangkutan dengan niatnya dan niatnya tidak selari atas apa yang diucapkannya. Namun sebahagian ulama lagi menyatakan dia telah kafir ataumurtad. Pendapat yang menyatakan kufur itu sah di sisiku kerana mengambil mudah dan meremehkan agamanya.”

Mengapa tergamak mempermainkan agama sendiri?

Dalam keadaan kejahilan berkaitan agama, ditambah dengan mengejar publisiti dan content yang boleh menjadi tular, agama dipersendakan sedangkan banyak lagi isu dan perkara lain boleh dijadikan kandungan publisiti.

Jika dilihat, isu mempermainkan agama Islam ini dimainkan umpama cubaan untuk menguji sensitiviti penganut Islam.

Umat Islam yang sebenar-benarnya tidak akan melatah walau sebanyak mana pun cubaan untuk menguji sensitiviti dilakukan oleh mereka ini.

Umat Islam akan sensitif, tetapi mereka tidak akan mudah melatah atau menghina kembali atau mengambil tindakan agresif terhadap pelaku.

Ini kerana banyak ayat al-Quran yang menyarankan supaya kita bersabar dalam menghadapi cacian terhadap agama Islam, selaras dengan akhlak Rasulullah SAW yang bersabar menghadapi cacian dan hinaan oleh musuh Islam.

Antaranya Firman Allah SWT:

•”Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar daripada orang yang telah diberikan kitab dahulu daripada kamu dan orang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).” – Ali ‘Imran ayat 186)

•”Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu daripada kejahatan orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu.” – (Surah al-Hijr ayat 95)

•”Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada saat dari waktu malam serta pada sebelah siang; supaya engkau reda (dengan mendapat sebaik-baik balasan).” – (Surah Taha ayat 130)

Terdapat juga ayat al-Quran yang menyarankan supaya kita tidak mengendahkan orang jahil itu seperti firman Allah SWT:

“Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara baik serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”- (Surah al-A’raaf ayat 199)

Apa yang boleh dilakukan bagi memastikan ‘sentuhan’ terhadap isu mempermainkan agama ini, sama ada Islam atau agama lain, dapat dibanteras kerana ia mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan?

Walaupun umat Islam diajar supaya bersabar atau menjauhkan diri daripada golongan ini, ia tidak bermaksud bahawa mereka boleh dibiarkan sewenang-wenangnya melakukan perkara terbabit.

Kita ada undang-undang yang boleh dikenakan ke atas pihak yang beragama Islam, hatta yang bukan beragama Islam.

Di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997, terdapat peruntukan di bawah Seksyen 7 iaitu kesalahan menghina atau menyebabkan dipandang hina agama dan lain-lain.

Sekiranya kenyataan menghina itu mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh menimbulkan permusuhan dalam kalangan kaum dan dilihat mampu mengancam keselamatan negara, tindakan di bawah Akta Hasutan 1948 boleh dikenakan.

Keharmonian kaum bermula dengan hormatnya kita kepada anutan atau kepercayaan orang lain.

Kita bukan tinggal seorang diri atas bumi ini. Kita bukan satu jenis kaum sahaja. Kita bukan satu bangsa sahaja, bukan satu kaum sahaja dan bukan satu-satu agama sahaja.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker