Gadis cedera dipukul abang hanya kerana enggan teman ke kedai
PETALING JAYA: Seorang wanita cedera dipukul abangnya yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu selepas menolak permintaan untuk menemani lelaki itu ke kedai di rumah mereka di Taman Cahaya, Ampang Jaya, di sini Khamis lalu.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, mangsa berusia 20 tahun yang juga pekerja khidmat pelanggan berada di rumah sebelum abangnya mengajak menemaninya ke kedai untuk membeli barang namun dia menolak ajakan itu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek tiba-tiba meluru ke arah mangsa yang sedang berbaring dan memijak paha kanan, bahu kanan dan menumbuknya di kepala berkali-kali.
Katanya, mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Ampang dan membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
“Suspek berusia 31 tahun yang tidak bekerja ditahan di rumah mereka pada 10.30 malam hari sama,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.