Krisis bawang buatkan petani India ‘menangis’

MUMBAI: Petani di Maharashtra, barat India, memulakan perarakan protes sejauh 200 kilometer (km) ke Mumbai bagi menuntut harga bawang yang lebih tinggi.

Susulan itu, pihak berkuasa mengumumkan beberapa bantuan kewangan untuk penanam bawang, tetapi ditolak oleh petani yang tetap meneruskan bantahan, menurut laporan BBC India.

Petani berkata, mereka tidak mahu membelanjakan lebih wang untuk mengupah buruh menuai bawang dan membawanya ke pasaran kerana ia tidak dapat menampung kos, malah tidak balik modal.

Salah seorang daripada mereka membakar tanamannya dalam keadaan terdesak selepas menghantar jemputan kepada ketua menteri negeri manakala yang lain menghantar bungkusan bawang kepada Perdana Menteri, Narendra Modi, sebagai tanda simbolik untuk menarik perhatian.



Perkara ini berlaku hampir setiap tahun susulan pengurusan dan penyelarasan kerajaan yang lemah berhubung pengeluaran bawang.

Sementara itu, di ladang keluarga Namdev Thakare yang luas di daerah Nashik, terdapat barisan dan deretan bawang yang mula membusuk kerana tidak berbaloi bagi mengupah pekerja menuai memandangkan harga pasaran merudum.

Mereka adalah antara ribuan petani di Maharashtra yang membantah selepas harga bawang tiba-tiba jatuh sejak beberapa minggu lalu.

Perubahan harga bawang di India amat ketara kerana ia adalah antara makanan utama yang digunakan dalam hampir kesemua masakan di seluruh India dan jangka hayatnya yang singkat bermakna ia tidak boleh disimpan terlalu lama.



Bekalan bawang berlebihan menyebabkan harga jatuh manakala kenaikan harga mendadak berlaku jika kekurangan bekalan, di mana dalam kedua-dua aspek hanya orang tengah atau pengedar untung manakala petani menjadi mangsa.

Justeru, isu berkaitan bawang sering dipolitikkan di India baik ketika bekalan tinggu atau kekurangan, malah krisis seumpamanya pernah menumbangkan kerajaan sebelum ini di India.

India ialah pengeluar bawang kedua terbesar di dunia iaitu kira-kira 24 juta tan setiap tahun, di belakang China.

Maharashtra menyumbang lebih daripada separuh daripada jumlah itu iaitu kira-kira 10 hingga 15 peratus daripada hasil seluruh negara yang dieksport ke negara lain.

Pegawai berkata, sebab utama krisis terbaru di Maharashtra ialah akibat permintaan daripada negeri-negeri utara yang ramai penduduk berkurangan kerana negeri Uttar Pradesh, Bihar dan Rajasthan juga sedang menuai bawang dalam skala besar.

Pakar ladang, Shrikant Kuwalekar, berkata perubahan cuaca yang tidak dijangka juga mempunyai kesan ke atas pengeluaran dan seterusnya harga.

Petani di Nashik berkata, mereka hanya mendapat sekitar AS$2.43 (RM10.90) hingga AS$4.85 (RM21.76) bagi setiap 100 kilogram (kg) bawang di pasaran borong.

Petani di Maharashtra, Ajit Navale, yang menjelaskan mengenai ekonomi bawang, berkata harga komoditi itu perlu kekal di atas 1,200 rupee (RM65) setiap 100kg jika petani mengharapkan keuntungan sekurang-kurangnya 400 rupee (RM21.65). –

AGENSI

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker