Man Tobey pemain bass XPDC meninggal dunia

Kuala Lumpur: Bekas pemain bass pertama kumpulan XPDC (Tragedy) serta Meditasi dan Garuda, Man Tobey, 58, meninggal dunia pada jam 12.04 malam tadi di Hospital Selayang.

Perkara ini dimaklumkan oleh anaknya, Nur Anis Sofea kepada Harian Metro dan rakan-rakan penggiat seni.

Anis berkata, ayahnya dimasukkan ke hospital sejak tiga hari lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir malam tadi.



Man Tobey atau nama sebenarnya Yahya Rashid terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 30 Mei tahun lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.

Dalam kejadian di Jalan Bukit Templer-Rawang sekitar jam 10 pagi itu, Man Tobey sedang menunggang motosikal dari arah Selayang untuk pulang ke rumahnya di Rawang.

Dia mengalami kecederaan tulang belakang, leher dan tangan kirinya patah. Tulang belakangnya menutup saluran pernafasan sehingga terpaksa menggunakan mesin bantuan.



Doktor juga melakukan pembedahan membuang tiga batang tulang belakang kerana ingin memberi ruang pada saluran pernafasannya.

Kejadian berlaku semasa Allahyarham pulang dari Pasar Selayang untuk berniaga di kedai runcit di kawasan kediamannya dekat Rawang.

Dia akan mengambil barang berniaga di Pasar Selayang dan selalunya sampai di kedai jam 9 pagi.



Namun pada hari kejadian dia masih belum pulang walaupun sudah jam 10 pagi. Anis kemudian menerima panggilan dari seorang rakan memberitahu ayahnya kemalangan di lokasi itu membabitkan sebuah treler.

Man Tobey juga menjalani pembedahan kedua iaitu menebuk leher untuk pasang alat pernafasan dan tidak mampu bercakap lagi selepas itu. Selain berniaga, Allahyarham juga menjadi bilal di surau tempat tinggalnya di Apartment Taman Setia Rawang.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Garing, Rawang pagi ini.

Allahyarham meninggalkan balu,



Zamidah Ishak, 62, dan dua anak, Nurul Fatin Athirah, 25, dan Nur Anis Sofea, 23.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button