21 tahun menumpang kasih abah

Kampung Gajah: Meskipun tidak puas merasai kasih sayang bapa kandung yang meninggal dunia 22 tahun lalu, Fatin Fadhilah Ramli dan lima adik beradiknya cukup bertuah.

Ia kerana bapa saudara, Tajul Ariffin Noh ibarat lelaki kiriman Tuhan yang hadir sebagai ‘pengganti’ di kala Fatin Fadhilah, 27, berduka kerana kehilangan insan tercinta.

Bukan hanya berkorban wang ringgit malah Tajul Ariffin yang mesra disapa abah tidak lokek mencurah kasih sayang sehingga akhir hayatnya sebelum meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 16 Januari lalu.

Mengimbas kenangan lalu, Fatin Fadhilah berkata, bapa kandungnya, Ramli Mat Akib meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dan sejak itu, dia dan adik beradiknya dibesarkan oleh Tajul Ariffin.

“Ayah kandung saya meninggal dunia sejak adik bongsu (Luqman Hakim Ramli, 23) berusia setahun dan sejak itu, abah bantu emak (Marodziah Ariffin, 55) membesarkan kami lima beradik.

“Memang sejak kecil lagi kami gelar abah malah sepupu dan yang lain pun panggil dengan gelaran sama.

“Abah pun ada tujuh anak kandung yang dibesarkannya namun apabila berjalan, abah bawa kami bersama menaiki van miliknya malah dia (abah) selalu bawa adik lelaki saya yang bongsu ke masjid.

“Pendek kata, layanan abah dekat kami sama rata dengan anak kandungnya malah tidak pernah bezakan kasih sayang satu dengan yang lain,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Fatin Fadhilah, terlalu banyak pengorbanan Tajul Ariffin yang tidak akan dapat dibalas sampai bila-bila.

“Emak terasa dunianya gelap selepas ayah meninggal dunia kerana tidak bekerja ketika itu dan kami adik beradik masih kecil lagi ketika itu.

“Walaupun abah bukan orang senang namun abah berkorban macam-macam buat kami adik beradik.

“Alhamdulillah, dengan didikan abah kami dapat membesar malah adik bongsu saya juga dapat jadi orang yang membanggakan keluarga selepas menjadi anggota tentera,” katanya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, sebelum meninggal dunia, bapa saudaranya ada menitipkan pesanan terakhir akan diingati sehingga akhir hayat.

“Abah minta anak-anaknya sentiasa bersatu, tolong jagakan opah (ibu kepada abah) apabila dia sudah tiada dan pesanan yang selalu abah ingatkan adalah jangan sesekali tinggalkan solat.

“Nasihatnya yang kami rindukan malah kedatangan Ramadan tahun ini lebih sayu kerana kali pertama menyambutnya tanpa abah,” katanya.

Berhubung perkongsian di TikTok, Fatin Fadhilah berkata, video itu disunting pada 10 Februari lalu dan dia merancang untuk memuat naiknya pada 1 Julai depan sempena hari ulang tahun kelahiran bapa saudaranya.

“Ditakdirkan, abah meninggal dunia sebelum ulang tahun kelahirannya dan tak sangka terlalu cepat abah tinggalkan kami.

“Sejujurnya, kami sekeluarga tak mampu nak terima ujian seberat itu dan hanya Allah saja tahu macam mana perasaan kami.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan kami sekeluarga bersyukur kerana sempat tunaikan permintaan abah untuk bercuti di Lumut walaupun dekat.

“Rupanya, itu kali terakhir kami bercuti dengan abah,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker