Panahan petir punca kebakaran Masjid Ibnu Sina
Kuala Lumpur: Kebakaran Masjid Ibnu Sina, Titiwangsa di sini semalam dipercayai berpunca dari panahan petir ke arah bumbung masjid.
Masjid Ibnu Sina dalam kenyataan di Facebook berkata, panahan petir itu mencetuskan kebakaran dan merebak dengan cepat.
“Maklumat daripada forensik bomba melaporkan kejadian berpunca dari panahan petir yang kuat diatas bumbung masjid dan api merebak begitu cepat.
“Pihak bomba juga memberi kebenaran untuk solat di kawasan terbuka (beranda) masjid,” menurut kenyataan hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan, mereka akan menghentikan seketika segala aktiviti dan ahli kariah diminta pergi ke masjid atau surau lain buat sementara waktu.
“Pihak masjid sedaya upaya menyediakan tempat solat yang selesa untuk jemaah dalam masa secepat mungkin.
“Pihak masjid memohon maaf diatas kesulitan ini,dan semua ini ujian daripada Allah. Marilah kita sama-sama bermuhasabah agar kejadian ini adalah ujian dan 1,000 hikmah daripada Allah,” katanya.
Semalam Harian Metro melaporkan kariah terbabit tidak sempat menunaikan solat tarawih apabila dewan solat utama masjid itu musnah dalam kebakaran, dipercayai akibat litar pintas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 7.10 malam.
METRO