Peguam enggan jawab persoalan

Oleh – Syeikh Baran


Peguam enggan jawab persoalan
Lelaki Israel, Avitan Shalom dikawal ketat anggota polis untuk dituduh mengikut Akta Senjata Api di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. – Foto NSTP/Aswadi Alias

Peguam yang mewakili Avitan Shalom, lelaki Israel yang didakwa berkaitan pemerdagangan senjata api dan pemilikan peluru, enggan menjawab persoalan bagaimana beliau boleh mewakili tertuduh.

Peguam Navinjit Singh ditanya pemberita sama ada terdapat pihak yang menghubunginya atau firma guamannya bagi mewakili Avitan yang didakwa mengikut Seksyen gagal 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan 8(1) Akta Senjata 1960.



Bagaimanapun, peguam itu yang ditemui selepas prosiding pendakwaan, berkata beliau tidak boleh mendedahkan perkara berkenaan.

Selain Navinjit, Shalom turut diwakili peguam Jeffrey Ooi.

Sementara itu, laluan ke Mahkamah Sesyen dikawal ketat anggota polis di mana pihak berkepentingan sahaja dibenarkan memasuki prosiding hari ini.

Cubaan dua lelaki yang difahamkan tiada kena mengena dengan kes untuk turut serta mengikuti prosiding, berakhir dengan kegagalan, malah seorang daripadanya diperiksa polis kerana berada dalam keadaan mencurigakan.



Lelaki yang ditahan polis itu kelihatan mundar-mandir di kaki lima ketika pemberita agensi tempatan dan antarabangsa sedang menunggu kebenaran untuk dibenarkan masuk dalam kamar mahkamah.

Dia kemudian ditegur oleh kakitangan bahagian keselamatan mahkamah sebelum diminta beredar daripada lokasi terbabit.

Bagaimanapun, beliau masih mundar-mandir di kawasan itu sebelum beberapa anggota polis berpakaian preman dilihat melakukan pemeriksaan badan terhadapnya.

Lelaki kedua pula mendakwa dirinya seorang peguam yang mewakili keluarga kepada individu yang hendak dibunuh oleh tertuduh.



Perkara itu disahkan pendakwaan kemudian, bagaimanapun tidak boleh mengesahkan kebenaran dakwaan peguam terbabit.

Beliau bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki mahkamah kerana hanya pemberita yang memiliki pas media sahaja yang dibenarkan mengikuti prosiding, selain polis, timbalan pendakwa raya dan peguam.

Media sebelum ini melaporkan Shalom yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport Perancis, untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan perbalahan terhadap seteru.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button