Geng Raqib tumpas

Oleh – Syeikh Baran


Geng Raqib tumpas
Tiga termasuk ketua Geng Raqib yang diberkas pasukan polis dari JSJ IPK Sabah di sebuah rumah di Kampung Kekeru, Kota Klias, Beaufort. FOTO Ihsan Polis

Kegiatan kumpulan yang sudah melakukan sekurang-kurangnya 17 jenayah pecah rumah di beberapa daerah di negeri ini akhirnya ditumpaskan pasukan polis.

Kumpulan yang dikenali dengan nama ‘Geng Raqib’ dan aktif dalam aktiviti jenayah berkenaan sejak pertengahan tahun lalu tumpas selepas menahan lima individu termasuk ketua kumpulan berkenaan menerusi dua serbuan berasingan di Beaufort dan daerah ini, semalam.



Kejayaan menumpaskan Geng Raqib ini hasil risikan dan intipan pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah sejak tahun lalu.

Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 17 Februari lalu yang mendakwa rumahnya dipecah masuk dan pelbagai barangan berharga hilang hingga menyebabkan kerugian kira-kira RM96,000.

“Betindak atas maklumat, pasukan operasi menjalankan siasatan dan berjaya menahan tiga lelaki kira-kira jam 7 pagi semalam di sebuah rumah di Kampung Kekeru Kota Klias, Beaufort

“Polis turut merampas sebuah kenderaan, laptop, wang tunai, telefon bimbit dan set anak kunci,” katanya ketika dihubungi, hari ini.



Menurutnya, siasatan ketiga-tiga suspek berusia 33, 37 dan 39 tahun ini mendapati terbabit 17 kes pecah rumah di beberapa daerah di Sabah.

 

“Antaranya di Sandakan (11 kes), Ranau (dua kes), Penampang, Ranau, Putatan, Inanam dan Kudat masing-masing satu kes.

“Modus operandi kumpulan ini dengan berlegar-legar di perumahan mewah dan kawasan yang berpotensi untuk dipecah masuk.

“Suspek akan menekan lonceng rumah dan memberi salam bagi mengenal pasti sama ada rumah terbabit berpenghuni atau sebaliknya, sekiranya tiada jawapan, suspek akan memecah masuk dan melarikan barangan berharga,” katanya.



Beliau berkata, selepas melakukan jenayah, suspek akan lari dan tinggal di sebuah rumah di Beaufort.

“Pemeriksaan mendapati ketua kumpulan ini mempunyai 21 kes jenayah iaitu pecah rumah, dadah dan curi.

“Dua dari suspek adalah warga tempatan manakala seorang tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Melalui tangkapan ini, cawangan D9 JSJ IPK Sabah berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah di Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan, Ranau, Sipitang dan Beaufort,” katanya.



Sementara itu, hasil siasatan lanjut pasukan operasi turut menahan dua individu berusia 26 dan 23 tahun di Kota Kinabalu, semalam.

“Kedua-dua suspek ini berperanan sebagai pembeli barang-barang yang dicuri oleh ketiga-tiga suspek terbabit.

“Soal siasat dan risikan lanjut masih diteruskan ke atas semua anggota kumpulan ini dan usaha mengesan rakan sejenayah yang lain sedang dijalankan,” katanya.

Tambah beliau lagi, semua tangkapan direman lama tujuh hari sehingga 26 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button