Permulaan sempurna buat Bagnaia
Portimao, Portugal: Juara dunia, Francesco Bagnaia menyifatkan kejayaannya memenangi MotoGP Portugal, malam tadi, sebagai permulaan sempurna buat dirinya dan pasukan.
Bagnaia yang menunggang Ducati melintasi garisan penamat di depan pelumba Aprilia, Maverick Vinales untuk melakar kemenangan berganda selepas menjuarai acara pecut yang julung kali diadakan di MotoGP, 24 jam lebih awal.
“Ini adalah permulaan yang saya dan pasukan mahukan,” kata pelumba Itali itu kepada motogp.com.
“Kami perlu meneruskan rentak seperti ini.”
Ketika memenangi acara pecut 12 pusingan pada Sabtu lalu, Bagnaia berjenaka dengan menyatakan: “Saya tidak biasa dengan perlumbaan yang panjang.”
Pelumba yang bermula di petak utama, Marc Marquez terbabit dalam kemalangan dengan pelumba kegemaran tempatan, Miguel Oliveira di pusingan ketiga, sekali gus memberikan permulaan sempurna buat Bagnaia mempertahankan kejuaraannya.
Bagnaia yang menyaksikan rakan sepasukannya, Enea Bastianini terlepas perlumbaan kerana cedera ketika acara pecut, meninggalkan Portimao dengan mata maksimum 37 mata selepas perlumbaan sulung daripada 21 perlumbaan musim ini.
Rakan senegara Bagnaia, Marco Bezzecchi yang menunggang Ducati VR46 menduduki tempat ketiga.
Marquez yang juga bekas juara dunia enam kali kemudian meminta maaf kepada Oliveira dan tangan kanannya dikatakan patah susulan kemalangan itu.
AFP