Tiada Menu Rahmah buat geng plastik hitam

Segamat: “Tiada ruang untuk geng plastik hitam beli Menu Rahmah. Kami tak layan,” kata peniaga Bazar Ramadan Taman Bandar Utama di sini.

Bagi Amry Mohd Kassim, dia dan rakan peniaga lain tidak akan melayan kerenah individu culas puasa yang ingin membeli menu berkenaan pada waktu siang.

“Kami tahu mengenai gelagat geng plastik hitam setiap kali musim Ramadan, tentunya tidak akan layan mereka.



“Walaupun letih memasak dan perlu menjual juadah jualan dalam keadaan cuaca panas, kami tetap mampu berpuasa. Mengapa pula istimewanya kami layan sikap insan culas puasa ini,” katanya yang menawarkan Menu Rahmah nasi ayam, nanas dan timun ditemui di sini, hari ini.

Menurut Amry, peniaga Menu Rahmah perlu menjaga kesucian bulan Ramadan seperti peniaga makanan lain.

Kerana itu, katanya, dia tidak akan sekali-kali ingin meraih laba untuk bersekongkol menjual makanan kepada geng plastik hitam.

“Kami peniaga Menu Rahmah tidak akan menjual nasi bungkus berserta minuman selain pelbagai jenis lauk pada sekitar waktu pagi.



“Lebih baik Menu Rahmah yang tidak habis dijual dapat diagihkan kepada golongan kurang bernasib baik daripada dibeli oleh geng plastik hitam,” katanya.

Selain itu, dia dan peniaga lain juga memantau pesanan Menu Rahmah oleh geng plastik hitam melalui khidmat penghantar.

Katanya, biarpun perniagaan itu menjadi punca rezeki, mereka perlu memastikan untung yang diperoleh berkat dan halal serta tidak terjebak dengan unsur-unsur subahat yang dilarang agama.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button