Hubungan China-Taiwan makin tegang
Hubungan China-Taiwan makin tegang
BEIJING: China memberi amaran untuk melawan dengan tegas jika Speaker Dewan Perwakilan AS, Kevin McCarthy bertemu Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen dalam siri lawatan pemimpin Taiwan itu ke beberapa negara yang menggunakan Amerika Syarikat (AS) sebagai transit.
Lapor Al Jazeera, amaran itu ketika Ing-Wen sepatutnya berlepas untuk perjalanan ke Guatemala dan Belize, yang akan menyaksikan transitnya melalui New York dan California di AS.
Walaupun tidak disahkan secara rasmi, Ing-Wen dijangka bertemu McCarthy semasa di California, pada akhir perjalanan selama 10 harinya.
China yang mendakwa Taiwan yang diperintah secara demokrasi sebagai wilayahnya, berulang kali memberi amaran kepada pegawai AS agar tidak bertemu Ing-Wen sebagai sokongan terhadap keinginan pulau itu untuk menjadi negara berdaulat.
BEIJING KEPANASAN
Beijing bagaikan kepanasan dan isytihar ‘perang’ terhadap Taiwan Ogos tahun lalu apabila Speaker Dewan Rakyat AS ketika itu, Nancy Pelosi melawat Taipei.
Angkatan bersenjata Taiwan berkata, mereka bagaimanapun sentiasa mengawasi sebarang pergerakan China apabila Ing-Wen berada di luar negara.
Jurucakap Pejabat Hal Ehwal Taiwan China, Zhu Fenglian memberitahu pemberita di Beijing bahawa transit Ing-Wen ke AS bukan sekadar di lapangan terbang atau hotel, tetapi untuk bertemu pegawai dan penggubal undang-undang AS.
“Sekiranya dia mempunyai hubungan dengan Speaker Dewan Rakyat AS, McCarthy, ia akan menjadi satu lagi provokasi yang serius melanggar prinsip ‘Satu China’, memudaratkan kedaulatan dan integriti wilayah China dan memusnahkan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan.
“Kami tegas menentang ini dan pasti akan mengambil langkah untuk melawan dengan tegas,” kata Fenglian.
TRANSIT RUTIN
AS berkata, transit oleh Presiden Taiwan adalah rutin dan China tidak seharusnya menggunakan perjalanan Ing-Wen itu sebagai modal untuk mengambil sebarang tindakan agresif terhadap negara berkenaan.
Presiden Taiwan secara rutin melalui AS semasa melawat sekutu diplomatik di Amerika Latin, Caribbean dan Pasifik, walaupun bukan lawatan rasmi, tetapi sering digunakan oleh kedua-dua pihak untuk mesyuarat rasmi peringkat tinggi.
Bagaimanapun, China dan Taiwan tergolong dalam ‘Satu China’, kata Beijing dan sebagai wilayah China, Taiwan tidak mempunyai hak untuk sebarang jenis hubungan antara negara dengan AS.
Sementara itu, kerajaan Taiwan menolak sekeras-kerasnya tuntutan kedaulatan China dan Ing-Wen berulang kali menawarkan rundingan dengan Beijing.
Ing-Wen berkata, hanya penduduk pulau itu boleh menentukan masa depan mereka.
Presiden Taiwan itu dijangka memberi ucapan di New York yang dihoskan oleh Institut Hudson, sebuah badan pemikir konservatif AS, hari ini ketika dalam perjalanan ke Amerika Latin dan sekali lagi dijangka di Perpustakaan Presiden Ronald Reagan di California pada April ini.
Ing-Wen dilaporkan melawat AS empat kali sejak mula memegang jawatan pada 2016 dan pada masa itu, beliau bertemu dengan senator Republikan, Marco Rubio dan Ted Cruz dengan setiap perjalanan menjadi lebih formal.
Penasihat Institut Republikan Antarabangsa yang berpangkalan di Taipei, Michael Cole berkata, lawatan sebegini adalah pengesahan semula sokongan AS terhadap Taiwan iaitu pada masa pengkritik pentadbiran Ing-Wen dan Parti Komunis China berusaha untuk menimbulkan keraguan tentang kebolehpercayaan dan komitmen AS sebagai rakan kongsi kepada Taiwan.
Hubungan China-Taiwan makin tegang