‘Saya pelik dengan MB Kedah… kalau tak pasti, jangan kongsi’

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu hairan dengan dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Nor bahawa majlis berbuka puasa di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor dibatalkan sedangkan tempahan dewan belum diluluskan.

“Pelik juga saya bila Menteri Besar Kedah kata kelulusan sewaan dewan ditarik balik oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedangkan pengurusan dewan MAEPS belum keluarkan apa-apa surat setuju terima.

“Sebut harga pun belum keluar,” katanya di Facebook malam tadi.



Mohamad yang juga Presiden AMANAH turut hairan dengan tindakan Muhammad Sanusi yang menyebarkan poster program sebelum lokasi penganjuran disahkan kelulusan oleh pengurusan dewan.

“Lagi satu, macam mana Menteri Besar boleh sebarkan dulu poster program sebelum lokasi telah disahkan sudah dapat? Biasanya dah pasti baru kongsi,” katanya.

Mohamad turut merujuk penganjuran program Anak Terengganu di MAEPS tiada masalah dan akan berlangsung seperti dijadualkan.

“Oleh kerana Menteri Besar Kedah dah kata program Anak Kedah akan dibuat di tempat lain, maka kami anggap tak jadi.



“Jika tidak pasti, tolong jangan kongsi,” katanya.

Sebelum ini Muhammad Sanusi mendakwa kelulusan mengguna Dewan A MAEPS di bawah KPKM bagi mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak Kedah di perantauan pada 9 April ini ditarik balik.

“Kami nak buat majlis berbuka puasa saja pun, dewan tu kerajaan negeri Kedah akan bayar sewa, awat la jadi sampai lagu tu. Kedah ini kan menghasilkan 43 peratus beras untuk negara ini.



“Tak apa, tak gaduh kalut kelam kelibut, program akan diteruskan seperti dirancang. Lokasi terkini akan dimaklumkan segera, Kuala Lumpur juga la.. Hangpa mai bagi ramai noh..

“If you panaih please don’t koyak…, ” sinisnya menerusi perkongsian itu.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button