Pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya dapat tingkat keyakinan rakyat

KUALA LUMPUR: Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya akan dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap ketelusan setiap tindakan perundangan, khususnya bagi kes jenayah dan pendakwaan membabitkan ahli badan eksekutif atau pentadbiran negara.

Penganalisis politik dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr Mazlan Ali berpandangan jika perkara itu dimuktamadkan, ia pasti membuang persepsi negatif bahawa kerajaan berperanan atau campur tangan dalam kes mahkamah sama ada untuk mendakwa atau sebaliknya memandangkan Peguam Negara adalah individu dilantik atas syor Perdana Menteri.

“Sebagai penasihat undang-undang kerajaan atau badan eksekutif, peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang terletak pada individu sama perlu dipisahkan supaya tiada lagi perdebatan serta kesangsian bahawa kerajaan berperanan atau campur tangan dalam kes mahkamah, sama ada pendakwaan dan pemberhentian pendakwaan atau rayuan membabitkan kes tertentu,” katanya kepada Bernama.



Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan memberi pertimbangan utama untuk melaksanakan pengasingan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya biarpun akan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM300 juta serta prosesnya agak rumit dan mengambil masa.

Mazlan berkata, kenyataan Perdana Menteri itu memberi isyarat jelas bahawa kerajaan memberi komitmen tinggi untuk melaksanakan cadangan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya, seiring reformasi pentadbiran sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Berhubung Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda sebelum pengasingan kuasa terbabit dilaksanakan pula, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak itu berkata, perkara berkenaan bukan suatu halangan memandangkan Kerajaan Perpaduan mempunyai sokongan 148 Ahli Parlimen, iaitu melebihi dua pertiga majoriti untuk meluluskan sebarang pindaan sekiranya ia dibawa ke Parlimen.

“Dengan kesungguhan dan iltizam sebagaimana ditunjukkan Perdana Menteri serta hasrat sama oleh semua Ahli Parlimen, saya tidak nampak pindaan Artikel 145 sebagai halangan. Ini kerana dengan 148 Ahli Parlimen itu saja pun, kerajaan sudah mempunyai ‘cukup suara’ untuk meluluskan pindaan berkenaan,” katanya yang memberi contoh bagaimana rang undang-undang (RUU) antilompat boleh diluluskan tahun lalu sedangkan kerajaan ketika itu tidak mempunyai sokongan kuat seperti sekarang.



Menurut Artikel 145(2), peranan Peguam Negara ialah menasihati Yang di-Pertuan Agong, Kabinet atau menteri yang dalam erti kata lain, secara dasar tugas Peguam Negara ialah sebagai penasihat undang-undang kerajaan atau badan eksekutif, manakala Artikel 145(3) menyatakan Peguam Negara mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk mendakwa kes-kes jenayah bagi pihak awam.

Berkongsi pandangan sama, pakar undang-undang dan Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, berkata pengasingan kuasa itu akan menjadikan sistem demokrasi dan proses undang-undang di negara ini bertambah mantap.

Dengan pengasingan peranan, beliau berkata, kedua-dua entiti itu dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa bimbang akan berlaku konflik kepentingan, sekali gus memastikan proses pendakwaan dapat dilakukan dengan lebih telus serta bebas, terutama apabila kes jenayah berkenaan membabitkan ahli daripada badan eksekutif atau pentadbiran negara.

“Sebagai penasihat kerajaan, Peguam Negara dikira peguam kerajaan… nasihat, buah fikiran atau pandangannya, semuanya untuk kebaikan kerajaan. Di sini akan timbul isu konflik kepentingan apabila anggota kerajaan terbabit jenayah serta didakwa, dan perkara ini dapat dielak jika pengasingan peranan atau fungsi dilakukan,” katanya.



Khairil Azmin turut menyarankan kerajaan menjadikan amalan pengasingan fungsi antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya di United Kingdom sebagai panduan, yang mana sistem itu menyaksikan Peguam Negara tidak melakukan kerja pendakwaan.

Dalam sistem itu, tugas pendakwaan akan dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Dakwaan Diraja, sekali gus dapat mengelak berlaku konflik kepentingan dalam setiap kes mahkamah atau pendakwaan.

BERNAMA




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading