Jual ‘cucoq sekupang’ sejak 20 tahun lalu

KUALA NERANG: Seorang peniaga di FELDA Lubuk Merbau di sini, memilih mengekalkan jualan kuihnya pada kadar 10 sen setiap satu, walaupun berlaku kenaikan pada harga bahan mentah semasa.

Pada harga serendah itu, Roslina Saad, 54, yang menghasilkan 15 jenis kuih berjumlah kira-kira 5,000 biji sehari, yang kesemuanya habis dijual setiap hari sepanjang Ramadan ini.

Katanya, kuih atau ‘cucoq sekupang’ itu sudah dijual lebih 20 tahun dengan niat berniaga sambil melakukan amal jariah membantu penduduk setempat yang terkesan akibat kos sara hidup yang semakin tinggi.



“Saya masih kekalkan saiz dan kualiti bahan mentah sama, walaupun kos penghasilan semakin tinggi. Saya fikir kalau jual mahal atau naikkan harga nanti orang tak dapat beli, jadi saya kekalkan juga jual sebiji kuih 10 sen.

“Sebenarnya, keuntungan saya tetap sama dengan peniaga yang jual kuih lima biji RM2 kerana kuih saya saiz lebih kecil. Niat saya biar orang ramai boleh makan semua jenis kuih, walaupun di tangan mereka hanya ada RM1,” katanya ketika ditemui semalam.

Roslina berkata, dengan dibantu lima pekerja, setiap hari dia mampu menghasilkan 15 jenis kuih sebanyak 5,000 biji bermula jam 8.30 pagi.

Katanya, antara yang dijual adalah kuih badak, keria, buah melaka, karipap, onde-onde, lopeh dan ketayap yang akan habis dibeli pelanggan sekitar penempatan berkenaan.



“Setiap hari kami mula berniaga bermula jam 3 petang, pelanggan memang sudah tunggu kami buka kedai dan kira-kira dua jam kemudian atau jam 5 petang, kami sudah boleh berkemas pulang.

“Memang agak penat kerana kami hasilkan ribuan kuih di bulan Ramadan, tapi penat itu berbaloi apabila semua hasil tangan habis dijual setiap hari,” katanya.

Selain jualan pada Ramadan, Roslina turut berniaga pada hari biasa dan turut menawarkan kuih sejuk beku untuk dihantar kepada pelangganya di seluruh negara termasuk Pulau Pinang, Perlis dan Kuala Lumpur.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button