Perlu ada unjuran 5-10 tahun selesai isu pekerja sektor kesihatan awam

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu ada pelan unjuran lima hingga 10 tahun mengenai sumber manusia dalam sektor kesihatan awam berikutan kemasukan kira-kira 3,000 graduan perubatan ke dalam bidang itu setiap tahun.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Muruga Raj, berkata unjuran itu penting supaya ia mencapai sasaran dalam sektor penjagaan kesihatan negara.

“Pelan itu perlu merangkumi sasaran bilangan doktor, pakar, ahli farmasi, ahli radiologi, kakitangan penjagaan kesihatan bersekutu dan kakitangan penjagaan kesihatan yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Beliau berkata MMA sudah membangkitkan perkara itu dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi belum menerima maklum balas.

Katanya, mungkin ada keperluan untuk suruhanjaya kesihatan melakukan perancangan untuk urusan pengambilan pekerja dan menguruskan tenaga kerja penjagaan kesihatan awam serta kadar gaji sebagai keperluan dalam sektor penjagaan kesihatan.

Perkara itu mungkin berbeza dengan jabatan atau kementerian yang lain.

“Jumlah penduduk kini semakin meningkat dan begitu juga dengan keperluan penjagaan kesihatan. Bagi menubuhkan suruhanjaya berkenaan, pembaharuan tertentu adalah diperlukan dalam soal pembiayaan penjagaan kesihatan dan sumber manusianya.



“Selain itu, kami juga mungkin perlu menyemak pengambilan pelajar perubatan bagi memadankan bekalan kepada permintaan perkhidmatan doktor pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, MMA menyambut baik usaha kerajaan untuk menyediakan sebanyak 4,300 jawatan tetap diberikan kepada doktor kontrak bagi tahun ini.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button