Akhyar Rashid disamun dua lelaki berjaket hoodie

Oleh – Syeikh Baran


Akhyar Rashid disamun dua lelaki berjaket hoodie
Akhyar cedera selepas disamun di apartmennya di Kuala Terengganu, malam tadi.

Pemain Terengganu FC (TFC), Muhammad Akhyar Abdul Rashid, 25, cedera dipukul dengan sebatang besi boleh laras oleh dua lelaki dalam kejadian bermotifkan samun di bawah sebuah apartmen didiaminya di bandar raya ini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8.53 malam itu, bintang Harimau Malaya terbabit terpaksa menerima enam jahitan akibat kecederaan pada bahagian kepala dan tapak kaki kiri.



Pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) terbabit juga kerugian RM4,800 selepas beg tangan jenama LV dan dompet jenama Coach dilarikan dua penjenayah yang memakai jaket hoodie berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati Muhammad Akhyar telah didatangi dua lelaki tersebut sejurus keluar dari kereta yang diletakkan di hadapan apartmen terbabit.

“Sebelum kejadian, mangsa (Muhammad Akhyar) baru pulang dari menjalani sesi latihan bersama TFC di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

“Sebaik tiba berhampiran lif yang terletak berhampiran lobi apartmen itu, seorang suspek tiba-tiba memukul kepala dan kaki mangsa dengan sebatang besi boleh laras,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.



Azli berkata, dua suspek kemudiannya melarikan beg tangan milik Muhammad Akhyar yang turut mengandungi telefon pintar jenis iPhone 7, kad pengenalan dan lesen memandu pemain bola sepak terbabit.

Beliau berkata, telefon iPhone 7 milik mangsa yang menyertai TFC pada bulan Februari lalu kemudiannya dijumpai dibuang di tepi jalan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Mangsa telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. Dia menerima empat jahitan pada bahagian kepala dan dua jahitan pada tapak kaki kiri.

“Setakat ini, serangan dipercayai bermotifkan samun dan mangsa juga tidak mengenali suspek serta tidak pernah berselisih faham dengan sesiapa,” katanya.



Azli berkata, dua suspek yang memakai penutup muka sedang dikenal pasti identitinya dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sumber – KOSMO! ONLINE


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading