Tidak sampai 24 jam, polis Israel serbu lagi Masjid Al-Aqsa

GAZA/BAITULMAQDIS: Polis Israel kembali bertempur dengan rakyat Palestin untuk kali kedua di Masjid Al-Aqsa, semalam, beberapa jam selepas pasukan rejim Zionis itu membuat serbuan pada awal pagi dan menahan serta mengeluarkan lebih 350 orang dari kawasan masjid berkenaan.

Konfrontasi itu yang berlaku ketika bulan mulia Ramadan dan menjelang sambutan keagamaan Yahudi, turut mencetuskan serangan saling berbalas merentasi sempadan di Gaza serta meningkatkan kebimbangan akan keganasan semakin memuncak.

Dalam insiden kedua pada malam tadi, polis Israel sekali lagi memasuki pekarangan masjid itu serta cuba mengusir jemaah dengan menembak peluru getah dan melepaskan bom tangan ‘stun’, kata petugas Waqaf – pertubuhan Islam dilantik Jordan untuk menguruskan kompleks berkenaan.



Susulan itu, jemaah bertindak balas dengan membaling objek terhadap pasukan rejim Zionis berkenaan, menurut saksi, manakala Palang Merah Palestin pula memaklumkan enam orang mengalami kecederaan.

Polis Israel dalam satu kenyataan mendakwa, puluhan orang muda membawa masuk batu serta mercun ke masjid dan cuba membentengi diri mereka di dalamnya. Bagaimanapun, pihak Waqaf berkata, pasukan rejim itu memasuki masjid terbabit sebelum jemaah selesai menunaikan solat.

Nabil Abu Rudeineh sebagai jurucakap kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menyifatkan tindakan pihak Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menyerang jemaah, sebagai tamparan kepada usaha Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini untuk mewujudkan ketenangan serta kestabilan ketika Ramadan.

Dalam insiden terdahulu tidak sampai 24 jam sebelum itu, polis menyerbu Masjid Al-Aqsa dengan mendakwa sejumlah perusuh bertopeng telah memasuki masjid dan menguncinya.



Menurut Palang Merah Palestin, seramai 12 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran pertama itu, termasuk akibat tembakan peluru getah dan dipukul, manakala polis Israel pula memaklumkan dua anggotanya cedera.

Susulan pertempuran pertama itu, sekurang-kurang sembilan roket dilaporkan ditembak dari Gaza ke Israel sebelum dibalas dengan serangan udara rejim Zionis yang menyasarkan lokasi pengeluaran senjata kumpulan Hamas. Begitupun, tiada sebarang kematian dilaporkan di kedua-dua belah sempadan Gaza.

Hamas tiada membuat pengakuan bertanggungjawab atas serangan roket itu, namun percaya ia adalah tindak balas terhadap serbuan polis Israel di Masjid Al-Aqsa.

Sejurus sebelum pertempuran kedua di masjid itu, semalam, dua lagi roket dilaporkan ditembak dari Gaza. Tentera Israel mendakwa satu daripadanya tersasar, manakala satu lagi mengenai kawasan terbuka.



Mengikut ketetapan ‘status quo’ sekian lama bawah pengurusan pekarangan Masjid Al-Aqsa, hanya umat Islam boleh menunaikan solat di kawasan itu yang menyaksikan puluhan ribu jemaah memenuhinya untuk beribadah ketika Ramadan.

Mereka yang bukan Islam pula cuma dibenarkan melawat, namun semakin ramai pelawat Yahudi mengingkari ketetapan berkenaan dengan melakukan perkara keagamaan mereka di kawasan terbabit.

Pihak Waqaf menyifatkan tindakan polis Israel itu sebagai ‘serangan terang-terangan terhadap identiti dan fungsi Masjid Al-Aqsa sebagai tempat ibadah untuk Muslim sahaja.’

REUTERS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button