Britain galak perokok ganti rokok dengan vape

LONDON: Sejumlah sejuta perokok akan digalakkan untuk menukar rokok kepada rokok elektronik atau vape, dengan wanita hamil ditawarkan insentif kewangan untuk melakukan perubahan itu, kata kerajaan Britain hari ini.

Di bawah skim berkenaan, hampir satu daripada lima perokok akan diberikan kit permulaan vape bersama sokongan untuk membantu berhenti merokok, kata jabatan kesihatan.

Wanita hamil juga akan ditawarkan baucar untuk membantu mereka menghentikan tabiat itu sebagai sebahagian daripada sasaran kerajaan untuk mengurangkan bilangan perokok kepada lima peratus atau kurang daripada populasi iaitu 13 peratus ketika ini.



“Sehingga dua daripada tiga perokok seumur hidup akan mati akibat tabiat berkenaan (merokok). Rokok adalah satu-satunya produk yang dijual yang akan membunuh anda jika digunakan dengan betul,” kata Menteri Kesihatan, Neil O’Brien dalam ucapannya.

“Kami akan menawarkan kepada sejuta perokok bantuan baharu untuk berhenti. Kami akan membiayai skim ‘swap to stop’ nasional yang baharu, yang pertama seumpamanya di dunia,” katanya.

Walaupun kadar purata merokok di seluruh dunia lebih tinggi daripada di Britain, tembakau masih menjadi punca kematian dan penyakit yang boleh dicegah tertinggi di negara itu, kata jabatan kesihatan.

Kerajaan membelanjakan AS$84.52 juta pada 2021-2022 untuk pihak berkuasa tempatan bagi menggalakkan orang ramai berhenti merokok, membawa kepada 100,000 perokok berhenti dan mengurangkan tekanan pada Perkhidmatan Kesihatan Negara Britain.



Bagaimanapun, penggunaan vape turut mendapat kritikan dan pegawai kesihatan memberi amaran popularitinya dalam kalangan kanak-kanak mendedahkan mereka kepada bahan kimia dengan kesan jangka panjangnya yang tidak jelas.

Angka perkhidmatan kesihatan menunjukkan sembilan peratus penduduk berusia 11 hingga 15 tahun di Britain menggunakan vape pada 2021, meningkat daripada enam peratus tiga tahun sebelumnya.

Kerajaan berkata, ia akan menubuhkan skuad penguat kuasa yang disokong oleh dana £3 juta untuk menghalang penjualan vape secara haram kepada individu di bawah usia 18 tahun.

REUTERS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button