Istana Negara nafi PM akan menghadap Agong hari ini untuk pembubaran Parlimen

Istana Negara masih belum menerima sebarang makluman berhubung kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bagi meminta Parlimen dibubarkan segera.

Sumber Istana Negara memberitahu portal Utusan Malaysia, selalunya Perdana Menteri akan deal terus dengan Tuanku (Yang di-Pertuan Agong), kemudian baru pihaknya diberitahu.

“Tetapi setakat ini belum ada apa-apa makluman lagi (tentang kunjungan dari Perdana Menteri),” katanya ketika dihubungi, hari ini.



Sebelum ini, hangat diperkatakan Perdana Menteri akan menghadap Agong hari ini dipercayai bagi meminta Parlimen dibubarkan segera.

Perkara itu dikongsikan aktivis dan blogger, Datuk Zaharin Mohd. Yasin dalam satu hantaran di Facebooknya, semalam.

“Khabar cerita esok pagi (hari ini), Ismail Sabri akan diiringi oleh Datuk Seri Ahmad Maslan mewakili Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan pergi ke Istana negara menghantar surat bagi meminta Parlimen dibubarkan segera,” tulisnya.

Dalam pada itu, difahamkan, Ismail Sabri dijangka mempengerusikan mesyuarat bersama Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya pada pukul 11 sehingga pukul 4 petang di Pejabat Perdana Menteri di Parlimen, hari ini.



Mesyuarat itu dipercayai bagi membincangkan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

© Utusan Online 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button