‘Mujurlah tak perlu sambut Raya dalam dangau kebun getah’
ARAU: Penoreh getah, Shahrul Anuar Megat Abu, 35 bersyukur kerana tidak perlu sambut Aidilfitri dalam dangau kebun getah di Kampung Padang Telela, di sini yang menjadi tempat berteduh keluarganya sejak sembilan bulan lalu.
Dangau atau pondok kecil berukuran 13.940 meter persegi (150 kaki persegi) itu jugalah menjadi tempat berehat isterinya yang juga suri rumah, Norsapinah Mansor, 36 yang baharu melahirkan anak ketiga Ahad lalu, serta dua anaknya yang berusia sembilan dan tiga tahun dengan hanya berbekalkan lampu suluh bagi menerangi kegelapan malam.
Shahrul Anuar berkata, dia mendiami pondok kecil dalam kebun getah itu setelah melihat keadaan rumah keluarganya 500 meter dari kebun getah berkenaan agak sesak dengan keluarga kakak dan adiknya yang turut sama berkongsi kediaman bersama ibu bapanya yang sudah tua dan uzur.
“Sebelum ini, saya menetap di Bukit Kachi di Sintok, Kedah berhampiran Universiti Utara Malaysia (UUM) sebelum berpindah ke rumah ibu bapa saya disebabkan menjaga kedua ibu bapa yang sakit di Kampung Padang Telela, Pauh.
“Namun, apabila saya lihat keadaan rumah yang begitu sesak di kediaman ibu bapa saya itu membuatkan saya terpaksa keluar mencari satu tempat berteduh baru dan disebabkan saya juga tidak mampu untuk mencari penempatan baru buat keluarga, maka dangau di kebun getah tempat saya bekerja itulah yang menjadi tempat berteduh kami sekeluarga.
“Saya menoreh getah di kebun getah berkenaan dengan pendapatan yang tidak menentu, kadang-kadang RM20, tetapi jika hujan langsung tidak ada apa buat saya dan keluarga,” katanya ketika ditemui di kediaman barunya di Kampung Sena, Guar Sanji semalam.
Kediaman baharu itu hasil inisiatif skuad kebajikan UMNO Bahagian Arau yang tampil membantu mendapatkan segera sebuah rumah sewa yang selesa buat keluarga berkenaan dengan sewa RM250 sebulan.
Dalam pada itu Shahrul Anuar berkata, dia tidak pernah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun mengakui pernah mendapat bantuan ‘one-off’ RM700 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk rawatan isterinya.
BHOnline