Aliran trafik mulai perlahan di arah utara

Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lokasi di Lebuh Raya Utara-Selatan mula perlahan berikutan pertambahan jumlah kenderaan susulan orang ramai pulang ke kampung menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini.

Tinjauan menerusi akaun rasmi Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga jam 1 tengah hari tadi mendapati arah utara mulai perlahan di Juru Auto City ke Perai; Permatang Pauh ke Plaza Tol Sungai Dua; Kuala Kangsar ke Changkat Jering dan Tapah ke Gopeng.

Sementara itu, tinjauan di akaun rasmi Twitter Plus Trafik melaporkan trafik perlahan di Kilometer 265.1 arah Utara dari Ipoh Utara ke Terowong Menora akibat lori rosak yang menyebabkan lorong kiri terhalang.



Kerja pembersihan sisa kemalangan di Kilometer 29.8 hingga KM 29.0 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dari Sedenak ke Kulai menyebabkan kesesakan sejauh lapan km dengan lorong kanan masih ditutup, manakala lorong paling kiri boleh dilalui pengguna.

Bagaimanapun, LLM memaklumkan aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) pula bergerak lancar di kedua-dua arah.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMinfotrafik.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button