Masalah kewangan sekat hajat Barca bawa Messi pulang
Madrid: Barcelona tidak akan dapat mengikat Lionel Messi dari Paris Saint-Germain berdasarkan keadaan kewangan mereka kata presiden La Liga, Javier Tebas.
Messi, 35, dijangka meninggalkan PSG pada penghujung musim dan dikaitkan kepulangan ke Camp Nou dengan penyerang Barca Robert Lewandowski berkata dia berharap dapat bermain dengan juara dunia itu musim depan.
Pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu meninggalkan Barcelona pada 2021 ketika gergasi Catalan itu bergelut dengan masalah kewangan.
“Hari ini, dia tidak boleh (didaftarkan dalam La Liga), tetapi masih ada masa,” kata Tebas.
“Kami tidak akan mengubah peraturan kawalan kewangan yang diluluskan oleh kelab untuk mendaftarkan Messi… walaupun kami mahu dia kembali ke liga kami.”
Tebas berkata Barcelona berpotensi untuk mengimbangi sumber kewangan dengan menjual pemain.
Media tempatan melaporkan Barca mempunyai ‘keinginan tinggi untuk membawa Messi kembali’ musim panas ini dengan perjanjian dua tahun.
Messi bergelut untuk kembali ke prestasi terbaiknya di Paris, menjaringkan 31 gol dalam 69 penampilan dan diejek oleh peminat PSG awal bulan ini.
AFP