Tiga lagi ditahan bantu kes larikan lelaki secara salah
Alor Setar: Polis menahan tiga lagi suspek untuk membantu siasatan kes melarikan seorang lelaki berusia 27 tahun di hadapan sebuah hotel di Shahab Perdana, Mergong, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kesemua suspek ditahan antara jam 7 malam hingga 9 malam tadi di tiga lokasi berasingan di sekitar Changlun, Jitra dan Alor Setar susulan tangkapan pertama pagi semalam.
Beliau berkata, mereka yang ditahan itu berusia 39, 40 dan 42 tahun termasuk seorang wanita yang didapati positif dadah.
“Ini menjadikan jumlah tangkapan berhubung kes setakat ini adalah empat orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Shukri berkata, reman terhadap tiga tangkapan itu bermula hari ini sehingga 1 Mei bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, mangsa juga sudah ditemui namun setakat ini motif kejadian itu masih dalam siasatan.
Media semalam melaporkan polis menahan seorang suspek dipercayai terbabit melarikan seorang lelaki secara salah bersama beberapa individu di hadapan sebuah hotel di Shahab Perdana.
Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan polis selepas bapa mangsa berusia 46 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu.
Video berdurasi 41 saat itu ditular di Facebook (FB) menunjukkan beberapa individu menolak mangsa ke dalam Perodua Viva di lokasi kejadian.
METRO