‘Proklamasi Orang Melayu mana mungkin ia boleh pecahkan PN’
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menyangkal dakwaan Perikatan Nasional (PN) bakal berpecah susulan pembabitan ahli Parlimen parti itu dengan Proklamasi Orang Melayu.
Beliau menegaskan, Proklamasi Orang Melayu hanya membicarakan mengenai permasalahan, perjuangan dan masa depan orang Melayu.
“Sudah tentu proklamasi ini akan menyentuh perihal politik orang Melayu dan kedudukan mereka di negara ini.
“Setiap individu Melayu berhak mengambil bahagian dalam membicarakan perihal bangsa sendiri tanpa menyentuh perihal bangsa lain.
“Apabila membicarakan perihal bangsa sendiri, ia bukanlah perbuatan perkauma, maka mana mungkin ia boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan pimpinan PN,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan pertemuan pengasas Proklamasi Orang Melayu, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama beberapa pemimpin PAS bagi menyokong dengan menandatangani proklamasi berkenaan.
Sebelum itu, BERSATU melalui wakilnya diketuai Ahmad Faizal bersama Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, hadir memberi sokongan pada Ramadan lalu ketika majlis berbuka puasa anjuran Sekretariat Proklamasi Orang Melayu.
Ahmad Faizal berkata, orang Melayu yang bersatu padu dapat menolak kemungkaran dan kejahatan yang merugikan negara.
Katanya, kedudukan kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak tergugat dengan orang Melayu lebih bersatu padu.
Malah, katanya, perpaduan orang Melayu menjadi aset terpenting bagi kemajuan negara, yang mana dalam Proklamasi Orang Melayu perkara yang diutamakan adalah semangat cintakan negara.
“Proklamasi ini jauh sekali daripada mahu memporak-perandakan negara, malah jika ada dakwaan sedemikian, ia adalah dakwaan paling jahat.
“Mengapa kita mahu menghalang sesuatu yang baik dengan menghimpunkan orang Melayu merentasi parti? Perkara baik perlu disokong dan mengapa perlu ada pihak berasa tergugat kerana himpunan ini bukan untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya
Sementara itu, Razali menjelaskan tidak wujud ketidaksepakatan atau perpecahan dengan sokongan terhadap Proklamasi Orang Melayu itu.
Katanya, kehadiran beliau bersama Ahmad Faizal dan Iskandar Dzulkarnain diketahui serta direstui Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pimpinan lain.
Malah, katanya, BERSATU dan PAS menandatangani proklamasi itu selepas dipersetujui secara bersama.
“BERSATU menghantar tiga wakil, begitu juga PAS, namun kami tidak dapat menandatangani proklamasi itu apabila jadual perhimpunan Proklamasi Orang Melayu dibatalkan.
“Justeru, kami menandatanganinya secara berasingan yang mana saya bersama Ahmad Faizal dan Iskandar Dzulkarnain berbuat demikian ketika majlis berbuka puasa bulan lalu.
“Tiada wakil PAS hadir pada majlis berbuka puasa itu kerana mereka perlu menghadiri mesyuarat bulanan parti,” katanya.
Beliau menegaskan, ada tujuh perkara dalam proklamasi itu, yang mana diteliti dan dipersetujui bersama BERSATU dan PAS sebelum diputuskan untuk ditandatangani.
Katanya, tandatangan itu diberikan secara individu kerana dokumen memerlukan sokongan peribadi atas nama masing-masing.
Beliau menegaskan tidak akan menghalang mana-mana ahli parti itu untuk menandatangani proklamasi itu kerana ia berkaitan sokongan kepada isu orang Melayu
BHOnLINE