Suspek rompak emas RM1.8 juta ditahan

Kuala Pilah: Seorang lelaki dipercayai suspek dalam kejadian rompakan dua pengedar emas di lorong belakang sebuah kedai emas di Jalan Pasar Rabu, di sini, pagi semalam, ditahan polis malam tadi.

Difahamkan, suspek berusia 50-an itu ditahan di daerah ini kira-kira jam 10 malam tadi hasil gerakan dijalankan polis sejak pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, pihaknya masih menjalankan soal siasat terhadap suspek bagi mengenalpasti pembabitannya dalam kejadian itu.

“Hasil siasatan dan maklumat yang diperolehi, kami menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam kejadian rompakan dua pengedar emas.

“Soal siasat sedang dijalankan untuk melihat pembabitan suspek. Reman terhadap suspek diperolehi selama tujuh hari sehingga 10 Mei depan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan dua pengedar emas dirompak dua lelaki bertopeng yang melarikan dua beg berisi tujuh kilogram emas dianggarkan bernilai RM1.8 juta dekat Jalan Pasar Rabu.

Justeru, polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian hotline IPD Kuala Pilah 06-4842999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker