Sharnaaz kemuka representasi gugur pertuduhan

Kuala Lumpur: Pelakon Sharnaaz Ahmad sudah mengemukakan representasi untuk menggugurkan pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan pada tahun lalu.

Peguam yang mewakili Sharnaaz, Datuk Abu Bakar Isa Ramat berkata, representasi itu dihantar kepada Jabatan Peguam Negara pada Selasa lalu.

“Pihak kami baru menghantar representasi pada 2 Mei lalu kerana terdapat beberapa dokumen dan perkara yang perlu diselesaikan. Ada kemungkinan pengadu tidak mahu meneruskan kes, namun tiada kepastian.

“Saya tidak mahu mahkamah beranggapan pihak pembelaan sengaja melambatkan kes. Saya juga memohon tarikh keputusan reporesentasi pada Julai kerana mempunyai beberapa kes lain pada bulan ini dan Jun,” katanya ketika prosiding kes di Mahkamah Majistret Jenayah 1 Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan hari ini bagi Sharnaaz mengemukakan representasi untuk mengkaji semula pertuduhan terhadapnya itu.

Pada 18 Januari lalu, Sharnaaz didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan.

Bagaimanapun, Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Berdasarkan pertuduhan, pelakon itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang individu berusia 27 tahun ketika berada di kawasan lif sebuah kondominium, 8.30 malam pada 16 Jun tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Ketika prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin yang mengendalikan kes tidak membantah tarikh dipohon peguam.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim kemudian menetapkan 10 Julai ini bagi keputusan representasi.

Sementara itu, Sharnaaz ketika ditemui berkata, beliau berharap kes itu dapat diselesaikan secara baik.

“Tapi kalaulah kesudahan tidak seperti dijangkakan, saya bersedia untuk ke perbicaraan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker