Kifarah curang dengan pasangan
Jakarta: Dua penjawat awam Indonesia yang curang dengan pasangan masing-masing dikenakan tindakan tatatertib dan disiplin selepas gambar mereka bercumbu tular di media sosial.
Kedua-duanya yang bertugas di bawah jabatan pendidikan dan kebudayaan mengaku bermain kayu tiga sebelum gambar mereka sedang bercium tular di WhatsApp, lapor Kompas.
Si lelaki adalah koordinator wilayah di Wonogiri, Jawa Tengah manakala, kekasihnya adalah guru besar yang kini ditukarkan bertugas di jabatan selama 12 bulan.
Ketua Badan Pegawai Daerah (BKD) Wonogiri, Djoko Purwidyatmo berkata, lelaki berkenaan diberi pilihan untuk berhenti kerja atau pangkat diturunkan.
“Dia memilih meletak jawatan. Dia sepatutnya pencen pada Jun, kini pencennya diawalkan pada Mei,” katanya yang memberitahu wanita itu pula menerima hukuman disiplin yang mana dilucut daripada menjadi guru perlu menjalani ujian kompetensi ulangan jika mahu mengajar semula.
Bagaimanapun katanya, kes cumbu itu akan menjadi asas pertimbangan utama buat pihak berkuasa memberi kebenaran bagi wanita terbabit mengambil ujian kompetensi ulangan untuk bergelar guru.
Guru wanita itu masih mempunyai 13 tahun sebelum bersara dan kedua-duanya mendakwa tidak sengaja memuat naik gambar cumbu itu di status WhatsApp yang dikatakan hanya terpapar untuk beberapa saat.
Agensi