Pekerja kilang maut tersepit mesin penarik fiber
SHAH ALAM: Seorang pekerja warga Bangladesh maut selepas tersepit dalam mesin penarik fiber di sebuah kilang di Jalan Kemuning dekat sini, hari ini.
Mangsa dikenali Md Suruj Ali, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Zulfikar Jaffar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 7.06 pagi.
Susulan itu, katanya 10 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan maklumat awal, lelaki berkenaan dipercayai tersepit pada mesin penarik fiber ketika sedang bekerja dan bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dari mesin terbabit.
“Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya melalui kenyataan hari ini.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
BHOnline