Skuad MTB intai peluang raih pingat pertama esok

PHNOM PENH: Skuad berbasikal bukit (MTB) negara mahu memastikan mereka membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa apabila beraksi dalam acara ‘cross country’ yang akan berlangsung, esok.

Memepertaruhkan enam pelumba membabitkan kategori lelaki dan wanita, skuad MTB negara sudah membuat persiapan rapi bagi meraih keputusan positif pada penyertaan mereka di temasya Sukan SEA Kemboja 2023.

Pengurus pasukan, Mohd Saiful Abdul Jalil, berkata ketika ini persiapan atlet berjalan lancar walaupun terpaksa mengharungi cuaca panas hingga mencecah 40 darjah celcius.



“Persiapan berjalan lancar termasuklah memastikan atlet dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan cuaca di Siem Reap supaya tidak mengganggu tumpuan mereka ketika perlumbaan esok.

“Saya lihat, kita boleh bawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam acara ‘cross country’ sekali gus dapat meniup semangat rakan mereka untuk mencipta keputusan positif,” katanya.

Pasukan MTB negara mempertaruhkan Zulfikri Zulkifli, Ahmad Syazrin Awang Ilah dan Muhammad Syawal Mazlin untuk kategori lelaki ‘cross country’.

Bagi kategori wanita pula diwakili, Nur Assyira Zainal Abidin, Natahsya Soon, Ahmad Syazrin Awang Ilah dan Phi Kun Pai.



Pasukan MTB negara akan berkampung di Siem Reap yang terletak kira-kira 320 kilometer dari ibu negara Kemboja dengan sasaran membawa pulang satu emas dan satu gangsa.

Sementara itu, Saiful yang juga Pengerusi Jawatankuasa Berbasikal Bukit Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berkata, tidak mustahil pingat gangsa terbabit bertukar kepada kilauan emas walaupun mendapat tentangan sengit daripada wakil dari Thailand dan Indonesia.

“Segala kemungkinan boleh terjadi dan mengharapkan wakil negara tidak melakukan kesilapan hingga memberi ruang dan peluang kepada peserta lain mengatasi mereka,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button