Tiga kru MT Pablo tak ditemui dalam kapal

JOHOR BAHRU: Tiga kru kapal tangki MT Pablo yang masih hilang dalam kebakaran kapal itu pada Isnin lalu, tidak ditemui di dalam badan kapal terbabit.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata Operasi Carilamat hari kelima menumpukan pencarian dalam kapal MT Pablo selepas ia selamat dinaiki.

Katanya, pencarian mangsa di dalam kapal MT Pablo dibuat dengan bantuan sebuah kapal maritim KM REDANG dan dua bot ronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang membawa seramai 31 pegawai dan anggota Maritim Malaysia, 11 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).



“Pencarian juga dibantu dua kru kapal MT Pablo yang tiba di lokasi kapal tangki pada jam 1 petang tadi.

“Kawasan pencarian dilakukan di bahagian anjungan kapal sehingga ke bilik jentera namun tiada mangsa ditemui.

“Hasil pencarian yang dilaksanakan sehingga Operasi Carilamat ini ditangguhkan pada jam 7 malam tadi tidak menemukan sebarang petunjuk bahawa tiga kru yang masih hilang berada di dalam kapal tangki terbabit,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Nurul Hizam berkata, hasil pemantauan pesawat udara AW139 milik Maritim Malaysia turut melakukan ‘safety past’ bersama Unit Tindakan Khas (UTK) dan mendapati sudut kecondongan kapal semakin bertambah.



Katanya, kelihatan asap keluar dari corong atas sebelah kanan kapal tangki.

“Berdasarkan hasil pencarian dan penilaian keselamatan kapal tangki, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah menangguhkan Operasi Carilamat ini sehingga petunjuk baharu ditemui,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button