Doakan yang baik-baik saja

Kuala Lumpur: “Cukup doakan yang baik-baik saja sehingga majlis perkahwinan kami, Jun nanti. Semoga urusan kami dipermudahkan.Terima kasih semua,” kata ringkas pelawak dan penyampai radio Suria FM, Shuib, 39, kepada Harian Metro

Semalam, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad selamat melangsungkan pertunangan dengan wanita pilihan hati juga usahawan jelita, Watie Hanifiah, 35.

Terdahulu, pada Aidilfitri baru-baru ini, Shuib membawa bakal isterinya itu bertemu keluarga buat kali pertama sebagaimana janjinya.



Ia berikutan pada Ramadan lalu, Shuib berkongsi akan beraya dengan Watie sekali gus memperkenalkannya kepada ahli keluarga masing-masing.

Menerusi hantaran gambar di Instagram ketika itu, Shuib menulis kapsyen, ‘Bismillah… Selamat Hari Raya Aidilfitri 2023’. Mereka tampil menggayakan busana sedondon berwarna ‘peach’ yang menggambarkan sebuah keluarga bahagia.

Dalam gambar itu, Watie juga dilihat tidak kekok mendukung anak bongsu Shuib, Ayash Affan, 2, begitu juga wajah tiga lagi cahaya matanya iaitu Uwais Alqarni, 11; Dzahira Talita Zahra, 9; dan Ariq Matin, 7, tergambar gembira.



Sementara itu, pada majlis pertunangan mereka yang berlangsung di kediaman keluarga Watie, pihak Shuib difahamkan membawa tiga dulang hantaran berupa manisan, kasut dan sirih junjung.

Manakala pihak Watie pula membalas dengan lima dulang hantaran termasuk manisan, sampin, buah-buahan, sirih junjung dan kasut.

Pasangan ini dijangka melangsungkan majlis pernikahan pada 23 Jun nanti.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button