Belum terima makluman lafaz talak dua kali – peguam Puteri Sarah

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Peguam syarie mewakili pelakon Puteri Sarah Liyana iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir belum menerima makluman mengenai dakwaan Syamsul Yusof sudah melafazkan talak dua kali terhadap Puteri Sarah.

Kata Akberdin yang ditemui Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, pagi tadi,

pihaknya belum mendapat arahan daripada anak guamnya berhubung dakwaan tersebut.

“Setakat ini, tiada arahan anak guam berkenaan perkara ini. Isu ini juga tiba-tiba timbul dan kami juga tidak dapat mengesahkan kesahihan perkara itu.



“Apabila ada arahan daripada anak guam barulah boleh menjawab. Kalau wujudnya perkara itu, ia patut dibawa ke perhatian dan tindakan mahkamah, tak boleh main mengenai nikah dan cerai ini.

“Kalau ada lafaz, kena ikut prosedur dan bawa ke mahkamah. Saya hanya membaca mengenai perkara ini dalam media sosial. Setakat ini, tiada arahan dari anak guam kami,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, berikutan dakwaan pihak Syamsul memfailkan injuksi terhadap Puteri Sarah untuk menghalangnya memberikan sebarang kenyataan di luar mahkamah, Akberdin berkata, pihaknya juga belum menerima dokumen berkenaan perkara itu.

“Kami kena semak balik jika akan dapat dokumen, namun setakat ini, belum menerima sebarang dokumen berkenaan perkara itu,” katanya.



Terdahulu, media melaporkan Puteri Sarah didakwa pernah diceraikan dua kali oleh Syamsul.

Menurut laporan, ada sumber mengatakan kedua-dua lafaz talak pernah direkodkan di Mahkamah Syariah Petaling Jaya, Selangor.

Namun, difahamkan Syamsul tidak hadir ke mahkamah.

Kes perceraian Syamsul dan Puteri Sarah masih berjalan di Mahkamah Syariah di sini dan gagal diselesaikan selepas Syamsul enggan menceraikan Puteri Sarah pada 18 April lalu.



Pergolakan rumah tangga mereka bermula selepas kehadiran pihak ketiga iaitu Ira Kazar juga anak kepada pelakon veteran Kazar, sebelum Syamsul mengakui sudah bernikah dengan wanita itu pada awal Januari lalu di Thailand.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button