Malaysia perkasa kerjasama pertahanan dengan Singapura
Kuala Lumpur: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengadakan lawatan rasmi ke Singapura bagi memperkasakan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata, Mohamad bertemu rakan sejawatnya, Ng Eng Hen bagi mengadakan perbincangan memperkasakan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Singapura menerusi platform dua hala dan pelbagai hala.
“Kerjasama pertahanan dua hala antara kedua negara merangkumi aktiviti latihan dan eksesais ketenteraan, kunjungan hormat dan lawatan rasmi pegawai kanan kementerian serta angkatan tentera.
“Perbincangan turut membabitkan pertukaran pegawai, kursus dan pembabitan dalam pameran pertahanan,” katanya.
Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Menurutnya, kerjasama pertahanan itu diperkukuh lagi melalui kerjasama pertahanan pelbagai hala iaitu Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pertahanan ASEAN, Five Power Defence Arrangements (FPDA) dan Malacca Straits Patrol (MSP).
“Pertemuan itu dapat mengukuhkan kerjasama pertahanan di antara negara dan dapat memastikan lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan di masa hadapan,” katanya.
Mohamad turut bertemu Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Parlimen.
Menurut kenyataan itu, pelbagai perkara dibincangkan bersama Perdana Menteri Singapura terutama mengenai kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Singapura.
Lawatan rasmi Menteri Pertahanan membuka peluang baharu untuk kedua-dua negara meneruskan hubungan kerja yang baik terutama dalam bidang pertahanan.
Mohamad diiringi pegawai kanan Kementerian Pertahanan.
Lawatan rasmi itu adalah satu aktiviti diplomasi pertahanan yang mendokong tonggak strategi pertahanan Perkongsian Berwibawa yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
Ia juga adalah sebahagian daripada langkah membina keyakinan dalam memastikan keselamatan negara serta kestabilan serantau.
Delegasi daripada Kementerian Pertahanan turut membuat lawatan ke Pusat Operasi Counter Terrorism Information Facilities (CTIF) di Changi Naval Base untuk melihat fasiliti dan organisasi pusat itu.
CTIF adalah platform pertukaran maklumat pelbagai hala dan agensi bagi menangani cabaran keganasan.
Organisasi itu diwujudkan oleh Pertubuhan Perisikan Tentera (MIO) Singapura dengan kerjasama United States Indo-Pacific Command (USINDOPACOM).
METRO