Borang pendaftaran PADU secara manual akan dikeluarkan

 

Oleh Pena Merah

Borang pendaftaran PADU secara manual akan dikeluarkan
AHMAD Zahid Hamidi dalam Majlis Ponggal Perpaduan 2024 di Pusat Konvensyen IRDKL, Shah Alam, Selangor, semalam. – UTUSAN

Kementerian Ke­majuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mengeluarkan borang bagi membolehkan rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar mendaftar dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) secara manual.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengeluaran borang itu dibuat setelah mendapat permohonan daripada penduduk yang meminta kerajaan memperkenalkan pendaftaran secara manual.



“Akan ada (dicetak) borang bagi pendaftaran PADU secara manual kerana tidak semua boleh mendaftar secara dalam talian.

“KKDW akan bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi supaya penduduk luar bandar boleh juga mendaftar secara manual memandangkan subsidi bersasar akan dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya selepas menghadiri Majlis Ponggal Perpaduan 2024 di Pusat Konvensyen IRDKL di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau akan meminta Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dengan ketua kampung untuk turut sama membantu masyarakat mendaftar di dalam sistem pangkalan data berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan sehingga 18 Januari lalu, hanya 1,367,324 orang berdaftar dalam PADU berbanding sasaran 29.8 juta.



Daripada jumlah tersebut, Selangor merekodkan pendaftaran tertinggi iaitu seba­nyak 262,677 orang; Sarawak (164,179); Johor (160,433); Perak (121,032) dan Sabah (110,087).

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan menyediakan kemudahan internet di kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak bagi membolehkan penduduk mendaftar dalam PADU.

PADU yang dilancarkan pada 2 Januari lalu dilaporkan tidak mesra pengguna, terlalu rumit untuk diisi terutama oleh warga emas dan penduduk di kawasan pedalaman.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, belia India harus diberikan peluang untuk menceburi bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional tinggi (TVET) berteknologi tinggi supaya dapat mempertingkatkan taraf kehidupan mereka.



Justeru, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) akan terus menyantuni permasalahan yang dialami kaum tersebut.

“Kita akan sesuaikan minat mereka dalam bidang tertentu untuk dilatih di dalam TVET, selain bekerjasama dengan institusi dan universiti teknikal di India untuk kita promosikan TVET berdasarkan pendidikan teknologi terbaharu di dunia,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara.

-Utusan-



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button