City tunggu detik julang gelaran EPL

London: Manchester City sedang bersiap sedia untuk ditabalkan sebagai juara Liga Perdana, gelaran pertama ketika mereka berpotensi untuk merangkul tiga piala dan mencatatkan nama kelab ke dalam buku sejarah.

Kemenangan di tempat sendiri buat pasukan Pep Guardiola menentang Chelsea Ahad ini akan mengesahkan kedudukan itu tetapi mereka akan meraikannya lebih awal jika Arsenal tewas kepada Nottingham Forest yang sedang diancam penyingkiran.

Liverpool masih memburu penamat empat teratas selepas tujuh kemenangan berturut-turut manakala Leicester dan Leeds kelihatan ditakdirkan untuk tersingkir dari liga utama.



Musim lalu City dihalang oleh Liverpool, hanya melakar kejuaraan selepas kebangkitan mendebarkan daripada ketinggalan 2-0 menentang Aston Villa pada hari terakhir musim lalu.

Tahun ini mereka berada dalam kedudukan yang lebih selesa selepas memenangi 11 perlawanan terakhir mereka untuk mengukuhkan cengkaman.

Manakala Arsenal yang selepas sekian lama sebagai pendahulu, perlu mengelak kekalahan di Forest untuk memastikan mereka masih boleh memberikan cabaran kepada pasukan Guardiola.

Namun walaupun Arsenal menang di Forest, City hanya perlu menewaskan Chelsea di Etihad dan menjadi juara Liga Perdana untuk tahun ketiga berturut-turut.



Ia akan menjadi gelaran kelima mereka dalam tempoh enam tahun, menggariskan penguasaan mereka dalam liga terkaya di dunia.

Sebaik sahaja mereka menjulang trofi, City akan mengalih tumpuan kepada perlawanan akhir Piala FA menentang Manchester United dan final Liga Juara-Juara menentang Inter Milan ketika mereka berusaha untuk mengikuti jejak United pada 1999.

Newcastle yang berada dengan kedudukan empat teratas buat kali pertama dalam dua dekad, menyerlah dalam tempoh 19 bulan selepas pelancaran era baharu mereka.

Sebuah konsortium yang disokong Arab Saudi membeli kelab itu pada Oktober 2021 ketika Magpies dalam prestasi tidak menentu dan menjelaskan bahawa mereka kini mula memasang impian besar.



Newcastle, tanpa trofi utama sejak 1969, melangkaui jangkaan di bawah pengurus Eddie Howe dan akan diberi jaminan untuk menduduki tempat empat teratas jika Liverpool tewas kepada Aston Villa Ahad ini.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button