Tan Sri disiasat SPRM kes seleweng lebih RM2.3 bilion

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka beberapa kertas siasatan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke atas seorang tokoh perniagaan dan seorang bekas menteri kanan berhubung penyelewengan dana negara berjumlah lebih RM2.3 bilion.

Menurut sumber, siasatan itu adalah kesinambungan dan tambahan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit yang dibuat oleh ‘International Consortium of Investigative Journalists’ (ICIJ) berhubung transaksi-transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

“Tumpuan siasatan adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan ini.



“Difahamkan juga, transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan matawang ringgit pada hujung 1990-an dan sudah diseleweng bagi kepentingan individu-individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk,” katanya.

Menurut sumber, penyiasatan juga bertumpu kepada transaksi-transaksi daripada hasil penjualan saham syarikat tersenarai berkenaan.

Sementara itu, kata sumber, siasatan itu juga meliputi pemilikan aset-aset berharga dikenal pasti oleh SPRM dimiliki oleh ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan bekas menteri kanan serta ahli keluarga mereka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit berada di dalam serta di luar negara.

Tambah sumber, SPRM juga sudah merakam keterangan 14 saksi dalam tempoh beberapa minggu lalu berhubung penyiasatan ini termasuk keterangan daripada tokoh perniagaan dan bekas menteri kanan itu berkaitan dengan dokumen-dokumen sulit yang didedahkan oleh Pandora Papers.



Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Azam berkata, siasatan tertumpu kepada Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapat suapan dan kesalahan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button