‘Kita doakan agar keajaiban berlaku’

Kuala Lumpur: Penjelajah Grand Slam negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin mendoakan semoga ada keajaiban bagi pendaki Gunung Everest, Muhammad Hawari Hashim untuk bertahan hidup selepas hilang lebih 48 jam.

Qobin berkata, ini kerana, kebarangkalian hidup adalah sangat sukar terutama dalam situasi kesejukan melampau yang boleh mencecah negatif 20 hingga 30 darjah Celsius ditambah dengan salji tebal di gunung tertinggi dunia berkenaan.

“Hawari (Muhammad Hawari) sudah hilang sejak Jumaat (19 Mei), dah lebih 48 jam.



“Kebarangkalian untuk hidup itu memang sukar. Tetapi kita doakan keajaiban berlaku. Memang pihak penyelamat pun sudah bertungkus-lumus cuba mencarinya.

“Semalam (kelmarin) saya dapat maklumat pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah melakukan penerbangan menggunakan helikopter sehingga di kawasan berketinggian 8,300 meter tetapi masih tidak dijumpai,” katanya ketika diminta mengulas kejadian menimpa Muhammad Hawari.

Muhammad Hawari, 33, yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran adalah antara peserta misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang memulakan perjalanan ke Nepal pada 1 April sehingga 11 Jun 2023 dalam misi menawan puncak Everest.

Dia dipercayai turun dan berehat di kem empat selepas berjaya menawan puncak Everest pada ketinggian 8,848 meter dari paras laut dan berita kehilangannya pada Jumaat dilapor media tempatan Nepal.



Mengulas lanjut, Qobin berkata, pasukan SAR turut berdepan dengan cabaran masa dan perlu secepat yang mungkin bagi memastikan Muhammad Hawari ditemui.

“Yang pertama, saya nampak perlu segera (untuk memastikan Muhammad Hawari ditemui). Kedua, jika hidup kemungkinan dia akan mengalami atau berhadapan radang dingin (frost bite).

“Sekiranya terjatuh dan jika ada salji tebal yang lembut dan menenggelamkan atau pun tertimbus, itu amat sukar untuk dicari,” katanya.

Selain itu beliau berkata, berdasarkan pengalamannya menuruni dari kem empat ke kem tiga juga menyebabkan keletihan melampau serta memerlukan alat bantuan pernafasan untuk bekalan oksigen.



“Saya risau itu yang berlaku jika dia tidak mampu bernafas. Ekspedisi disertainya memang yang menggunakan oksigen (alat bantuan pernafasan daripada tangki oksigen), jadi memang kem empat sudah mula kena guna oksigen. Jadi kalau dia berjalan tanpa guna oksigen, itu lebih membahayakan,” katanya.

Beliau berkata, tangki oksigen yang biasanya dibawa pendaki boleh tahan minimum empat jam dan maksimum 10 jam untuk bekalan oksigen.

“Kalau sudah sampai ke kem dua, jika kita ‘fit’, tak guna oksigen pun tak apa.

“Namun tetap penat berjalan seperti kepenatan memecut berlari 100 meter walaupun sebenarnya berjalan lima enam langkah saja,” katanya.



Qobin berpandangan Muhammad Hawari kemungkinan hilang ketika berada di antara kem empat ke kem tiga atau di antara kem tiga ke kem dua.

“Itu yang saya rasa. Melainkan jika di kem empat itu dia keluar kiri dan dia pergi seberang satu lagi jurang, saya rasa dia akan jatuh sebelah Tibet tetapi jauh sikit,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button