Remaja hilang, tinggalkan tiga surat

Batu Pahat: Tiga keping surat yang ditemukan disyaki mempunyai kaitan dengan kehilangan seorang remaja perempuan, sejak malam kelmarin.

Surat itu ditemui ahli keluarganya selepas Nur Fatihah On, 19, menghilangkan diri dari rumahnya di Kampung Mohd Noor, Parit Sulong, dekat sini dipercayai mengikut seorang kenalan pada jam 10 malam selepas keluar rumah tanpa disedari ahli keluarganya disyaki turut membawa beg pakaian.

Abangnya, Muhammad Hafiz, 33, berkata kehilangan Nur Fatihah hanya disedari selepas dia dan isteri pulang ke rumah sebaik selesai berniaga.



Menurut Muhammad Hafiz, pada malam kejadian, hanya ibunya Mirah Khamis, 84, berada di rumah tetapi tidak menyedari adiknya keluar.

“Sebelum itu, ibu ternampak Nur Fatihah sedang mengemas pakaian dan bertanya ke mana dia mahu pergi tetapi dia tidak menjawab pertanyaan ibu.

“Nur Fatihah ada berkenalan seorang lelaki di Selangor sejak lebih setahun lalu, namun kami cuba menasihati supaya berhati-hati, tetapi dia seolah-olah tidak mahu mendengar nasihat dan kerap memberontak,” katanya.

Jelasnya, dia dan ahli keluarga menyelongkar bilik Nur Fatihah sebelum menemui tiga keping surat yang mengandungi butiran seolah-olah dia merancang sesuatu sebelum menghilangkan diri.



“Surat itu dipercayai ditujukan kepada kenalannya dan mereka dikatakan berpakat untuk melarikan diri,” katanya.

Katanya lagi, sejak kehilangan Nur Fatihah, ibunya tidak ceria dan kelihatan murung serta kerap menangis mengenangkan keselamatan anak bongsunya.

“Ibu selalu bertanya ke mana Nur Fatihah pergi malah kadang-kadang dia tidak makan sepanjang hari. Saya bimbang tahap kesihatan ibu kerana selalu bertanya di mana adik,” katanya ketika ditemui.

Muhammad Hafiz berkata, sejak akhir-akhirnya adiknya itu selalu memberontak dan tidak mempedulikan ahli keluarga.



“Sejak dia keluar rumah malam Rabu lalu, kami gagal menghubunginya kerana telefon sudah dimatikan.

“Kami ada cuba menghubungi kenalannya namun dia memberi jawapan tidak tahu di mana Nur Fatihah. Kami berharap dia pulang segera ke rumah kerana ibu tidak berapa sihat.

“Ibu sekarang menghidap darah tinggi, kencing manis dan jantung, keadaan kesihatan mungkin bertambah teruk jika Nur Fatihah tidak pulang ke rumah dalam masa terdekat,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Yong Peng, semalam.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button