Atlet OKU Terengganu dapat perhatian World Sailing
Kuala Terengganu: Slot kejuaraan dunia menanti skuad pelayaran para Terengganu yang kini mula mendapat perhatian daripada badan induk dunia (World Sailing) untuk mewakili negara bagi berentap dalam kejohanan lebih tinggi.
Terkini skuad pelayaran para Terengganu yang telah memulakan program latihan tersusun sejak setahun lalu mendapat slot untuk beraksi dalam Kejuaran Dunia Pelayaran (Sailing World Championship The Hauge 2023) yang dijadualkan berlangsung di Belanda pada Ogos ini.
Bagaimanapun kekangan penajaan bagi menampung perbelanjaan pasukan dilihat menjadi cabaran utama yang perlu diselesaikan oleh kem pelayaran Para Terengganu.
Presiden Persatuan Pelayaran Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu menjelaskan, fokus sepenuhnya perlu diberikan dalam pembangunan sukan para tanah air yang dilihat mempunyai peluang yang lebih cerah buat Malaysia untuk muncul kuasa besar sukan para di pentas dunia mahupun Olimpik.
“Kita bagi pihak Persatuan Pelayaran Negeri Terengganu dan juga kerajaan negeri begitu bangga kerana atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) kita telah layak untuk bertanding hingga ke peringkat antarabangsa.
“Tahniah dan terima kasih buat Persatuan Perahu Layar Kebangsaan kerana telah memberi peluang dan satu slot kepada atlet Terengganu untuk bertanding di Belanda nanti.
“Apa yang pasti Terengganu kini memberi fokus pada program pembangunan sukan perahu layar melibatkan atlet-atlet kurang upaya di mana kami melihat kategori ini mempunyai prospek untuk menyumbang pingat buat Terengganu mahupun negara dalam kejohanan antarabangsa.
“Cumanya persatuan kita ini merupakan persatuan yang baharu ditubuhkan kembali oleh kerana pendaftaran persatuan terdahulu telah terbatal. Jadi kita sekarang ini dalam usaha untuk mencari dana untuk menghantar seorang atlet dan jurulatih untuk bersama-sama dalam kejuaraan dunia di sana nanti.
“Jadi mohon doa agar kita dapat mencari dana tersebut supaya atlet kita dapat bertanding dalam satu kejuaraan yang tertinggi bagi atlet OKU kerana kita dalam usaha pembangunan sukan para pelayaran ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan Kejohanan Liga Layar Terengganu Siri 3 yang telah berlangsung di Tanjung Gelam, Kuala Nerus.
Pada kejohanan itu juga turut dipertandingkan adalah perlumbaan melibatkan bot bagi kategori Hansa Access 2.3 melibatkan atlet-atlet OKU Terengganu.
METRO