Pak Guard berhati Mulia

Simpang Empat: Prihatin terhadap murid ketika cuaca panas yang melanda, dia pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah di sini, menyediakan air percuma ketika waktu pulang sekolah sejak dua minggu lalu.

Usaha murni itu dilakukan Mohamad Azrae Mohd Nazri, 31, dan rakannya Azuan Ahmad, 36, menggunakan wang sendiri membeli bekas air dan cawan plastik untuk menyediakan air kosong.

Mohamad Azrae berkata, inisiatif itu dilakukan dengan keinginan mereka sendiri kerana prihatin dengan situasi cuaca ketika ini yang menyebabkan murid selalu mengadu dahaga sementara menunggu dijemput ibu bapa.

“Azuan beli bekas air dan saya pula beli cawan plastik. Kami cuma beri air kosong saja untuk menghilangkan dahaga murid sementara ibu bapa mereka datang jemput pulang.

“Air mineral dan ais kami beli pakai duit poket sendiri. Niat kami ikhlas untuk berkongsi rezeki dan membantu menghilangkan dahaga saja kerana ini saja yang mampu kami berikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia bertugas di sekolah berkenaan sejak empat tahun lalu ketika berpindah ke Perlis selepas berkahwin dan mengakui inisiatif itu turut mendapat sokongan daripada pihak sekolah.

“Kami sediakan air percuma hanya waktu pulang saja dan cuaca ketika itu panas. Tiada paksaan murid untuk minum, siapa yang mahu mereka boleh ambil air ini untuk menghilangkan dahaga ketika cuaca panas.

“Alhamdulillah, rakan sekerja lain juga sudi membantu kami untuk sediakan air apabila giliran kami berkerja syif malam,” katanya.

Mohamad Azrae berkata, dia juga tidak menyangka usaha mereka mendapat perhatian netizen apabila dia berkongsi video mengenainya di TikTok.

Katanya, perkongsian itu juga membawa rezeki tambahan apabila ada individu yang bermurah hati untuk berkongsi rezeki.

“Kami tambah satu lagi bekas air dan sekarang sudah ada 60 cawan plastik. Setiap Jumaat kami menyediakan air manis dan sedikit kuih untuk murid sekolah,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker