Budak cedera diserang buaya

SANDAKAN: Seorang budak lelaki terpaksa menerima lapan jahitan akibat serangan buaya dalam satu kejadian di Kampung Batu Putih, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, mangsa berusia 9 tahun berkenaan cedera di tangan, bahu dan kepala.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan, Hussien Muin, berkata kejadian berlaku ketika air laut pasang sehingga ke kawasan jalan perkampungan terbabit.



Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakan sebaya berenang keluar daripada rumah jiran untuk balik ke rumah.

“Secara tiba-tiba, mangsa diserang dan dibaham bahagian tangan, namun mangsa sempat melawan dan berjaya melepaskan diri sebelum diselamatkan bapanya.

“Kanak-kanak itu kemudiannya dikejarkan ke sebuah klinik swasta lalu diberikan rawatan sebelum pulang ke rumah.

“Kakitangan JHL kemudiannya memeriksa mangsa di rumah sebelum mendapati mangsa sudah menerima 8 jahitan di lengan kanan, cedera di bahu kanan dan kepala,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.



Hussein berkata, susulan kejadian itu anggota JHL Sandakan mendapatkan maklumat daripada bapa mangsa seterusnya membuat tinjauan di sekitar lokasi kejadian.

“Namun ketika tinjauan dijalankan, tiada kelibat buaya dilihat berhampiran kawasan kerana ketika air sudah surut sepenuhnya.

“Justeru itu, penduduk setempat dinasihati agar sentiasa berwaspada apabila menggunakan laluan jalan ketika air laut pasang.

“Penduduk juga diminta sentiasa memastikan anak-anak tidak berada atau bermain di kawasan berhampiran sungai berkenaan bagi tujuan keselamatan,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button